Seronok Jadi Penyampai Radio, Haiza Tidak Pernah Perlahankan Kerjaya Nyanyian

Penyanyi dangdut Haiza mengakui seronok menjadi penyampai radio walaupun berdepan dengan kesukaran untuk membahagikan masa dengan karier nyanyiannya.

Kini, Haiza merupakan salah seorang penyampai radio yang mengendalikan program Bicara Petang, di stesen Buletin FM.

Menurut Haiza, biarpun masih banyak perkara yang perlu diperbaiki, sentiasa terbuka untuk menerima sebarang kritikan demi mengekalkan kualiti kerjayanya.

“Kalau hendak cakap soal kerjaya seni, berjalan seperti biasa. Sekarang, saya mengendalikan program radio baharu iaitu Bicara Petang.

“Seronok sebenarnya dapat kendalikan drive show. Dapat temankan pendengar yang memandu balik dari tempat kerja.

“Selesa? Kita manusia, mana ada rasa puas. Tetapi, kita kena bersyukur dan tambah baik diri kita. Saya terbuka dengan kritikan membina.

“Tidak kisah dalam bidang apa sekalipun, kena sentiasa perbaiki diri. Kerjaya sebagai penyampai radio menuntut komitmen tinggi,” katanya.

Biarpun kini lebih aktif mengendalikan program di corong radio, Haiza menyatakan dia tidak pernah memperlahankan kerjaya nyanyiannya.

Memetik laporan Utusan Malaysia, penyanyi lagu Dag Dig Dug itu mengakui komitmenya kini semakin tinggi, namun dia juga sering menerima jemputan untuk beberapa acara.

“Komitmen tinggi itu betul. Saya bekerja ada shift, masa yang ditetapkan. Susah untuk bergerak tetapi saya kena pandai susun waktu. Siapa cakap saya memperlahankan kerjaya nyanyian?

“Sebetulnya, saya tidak pernah memperlahankan kerjaya nyanyian. Saya masih aktif menerima undangan persembahan.

“Mungkin mereka tidak mengikuti media sosial saya, jadi tidak tahu apa aktiviti saya. Saya masih menyanyi dan mengacara, tidak ada noktah,” jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia

Fatin Nurain