Syed Saddiq Berdepan Hukuman Penjara 7 Tahun, Denda RM10 Juta & 2 Sebatan

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dikenakan hukuman penjara selama tujuh tahun, dua kali sebatan serta didenda RM10 juta selepas didapati bersalah terhadap empat tuduhan pecah amanah, salah guna wang dan pengubahan wang haram dana Armada Bersatu.

Memetik laporan Berita Harian, Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid mengenakan hukuman itu selepas mendengar hujahan dari peguam bela Haijan Omar dan Gobind Singh Deo untuk meringankan hukuman dan hujahan pemberatan hukuman oleh pihak pendakwaan.

Menurutnya, bagi kesalahan bersubahat pecah amanah wang ARMADA berjumlah RM1 juta, Azhar memerintahkan Syed Saddiq dipenjara tiga tahun dan satu sebatan.

Manakala, bagi tuduhan salah guna wang RM120,000 pula, Syed Saddiq diperintahkan hukuman penjara dua tahun dan juga satu sebatan.

Selain itu, bagi satu tuduhan pertama pengubahan wang haram pula, Syed Saddiq diperintahkan menjalani hukuman penjara lima tahun dan denda RM5 juta serta tambahan dua tahun penjara jika gagal membayar denda.

Bagi tuduhan kedua penggubahan wang haram, Syed Saddiq perlu menjalani hukuman penjara selama dua tahun dan didenda RM5 juta serta tambahan dua tahun penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

Azhar juga memerintahkan supaya kedua-dua hukuman penjara bagi kesalahan pengubahan wang haram terbabit, supaya berjalan secara serentak.

Dalam pada itu, Azhar membenarkan permohonan  untuk menangguhkan hukuman penjara dan denda serta sebatan sementara rayuan dikemukakan di Mahkamah Rayuan dan mengarahkan syarat jaminan dikekalkan.

Syarat jaminan yang dikenakan terhadap Syed Saddiq sebelum ini ialah, dia dikenakan wang jaminan sebanyak RM330,000 bagi semua pertuduhan dan dikehendaki menyerahkan pasport sehingga kes selesai serta melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhampiran setiap sebulan sekali.

 

Sumber: Berita Harian

Kredit foto: Sinar Harian

Salma Syahbuddin