Terima Komen Lucah… Azhar Sulaiman Tampil Beri Respons, Dedah Wajah Pelaku

Pelakon senior, Azhar Sulaiman tampil memberi respons terhadap komen lucah yang diberikan terhadap anak perempuannya, Kasih Iris Leona dengan mendedahkan wajah netizen tersebut di sosial media.

Menerusi perkongsian di Instagram, Azhar memuat naik sebuah tangkap layar yang memaparkan komen lucah lelaki berkenaan yang memanggil Azhar dengan gelaran ‘papa’.

“Papa, pinjam Leona satu malam,” tulis lelaki tersebut di komen TikTok.

Azhar sekali gus mendedahkan wajah lelaki tersebut bersama isterinya di media sosial.

“Mereka ni saudara you ke?” soal Azhar di ruangan kapsyen.

Meninjau ke ruangan komen, hantaran tersebut mendapat kecaman ramai dengan tindakan lelaki tersebut terutamanya apabila sudah mempunyai isteri.

“Biadab! Gambar sebelah isteri tapi komen macam tu untuk anak gadis orang. Try anak gadis dia orang komen macam tu.

“Bayangkan dia ada anak dan isteri tetapi boleh buat begini dekat anak orang. Ingatlah hidayah Leona mungkin jauh lebih baik daripada Kita suatu ketika nanti bila dia tiba-tiba istiqamah,” komen netizen.

Menjengah Instagram Azhar, pelakon itu telah memadam hantaran terbabit.

Hantaran terbaharu Azhar memaklumkan dia sudah memaafkan pelaku dan mahu melupakan kejadian tersebut.

Nurul Hana