Malaysia menerima sebanyak 48,000 stok ubat antiviral, Paxlovid (PF-07321332/Nirmatrelvir 150mg Film-Coated Tablets & Ritonavir 100mg Film-Coated Tablets keluaran Pfizer, semalam.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ubat untuk merawat COVID-19 berkenaan tiba di Pharmaniaga Logistic Sdn Bhd pada 11 April 2022, semalam.
Menerusi perkongsian di Twitter, beliau berkata ubat antiviral berkenaan bukan bertujuan untuk digunakan sebagai pengganti kepada vaksinasi COVID-19, atau pengganti kepada tindakan kesihatan awam untuk mengelakkan dijangkiti COVID-19.
Alhamdulillah, 48,000 stok ubat PAXLOVID (PF-07321332/Nirmatrelvir 150mg Film-Coated Tablets & Ritonavir 100mg Film-Coated Tablets) telah selamat sampai di Pharmaniaga Logistic Sdn Bhd. pic.twitter.com/7MqF0cLY48
— Noor Hisham Abdullah (@DGHisham) April 11, 2022
“Ianya tidak bertujuan untuk digunakan sebagai pengganti kepada vaksinasi COVID-19,” katanya di Twitter.
Menurut beliau, ubat itu disyorkan untuk merawat pesakit COVID-19 dewasa berusia 18 tahun dan ke atas.
“Ia juga sesuai untuk golongan usia berkenaan yang tidak memerlukan terapi oksigen dan berisiko tinggi untuk mendapat gejala COVID-19 yang teruk,” tulisnya.
Dr Noor Hisham berkata, penggunaan Paxlovid adalah satu lagi senjata bagi melawan COVID-19 sebagai ubat antiviral untuk aspek rawatan wabak itu selepas dikesan positif.
“Penggunaan Paxlovid adalah satu lagi senjata melawan COVID-19 iaitu ianya ubat antiviral untuk aspek rawatan COVID-19. Ia diberikan segera selepas dikesan positif COVID-19 & dlm tempoh masa 5 hari gejala bermula utk keberkesanan optima,” jelasnya.
Sumber: BERNAMA