Categories: FeaturedTrending

Pelajar IPT dibenarkan pulang mulai 27 April ini

Pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang terkandas di kampus atau di rumah sewa di luar kampus akan dibenarkan pulang ke kampung masing-masing, mulai 27 April ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kerajaan bersetuju untuk menanggung sepenuhnya perbelanjaan menghantar pulang pelajar IPT awam termasuk kolej komuniti serta politeknik, manakala IPT swasta bergantung pada IPT masing-masing.

Katanya, proses penghantaran itu akan membabitkan hanya 85 peratus jumlah pelajar iaitu kira-kira 53,000 pelajar, manakala selebihnya mengambil keputusan untuk kekal di kampus memandangkan pengajian dilakukan secara dalam talian.

Kredit gambar: Selangor Journal

“Mesyuarat hari ini bersetuju untuk membenarkan pergerakan menghantar pulang pelajar bermula 27 April 2020 iaitu hari Isnin depan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menyediakan perincian prosedur operasi standard (SOP) termasuk jadual perjalanan.

“Waktu perjalanan dihadkan dari jam 9.00 malam hingga 9.00 pagi bagi mengelakkan kesesakan dan pergerakan yang besar pada waktu siang,” katanya pada sidang media harian selepas Mesyuarat Menteri Kanan Mengenai PKP di Putrajaya, sebentar tadi.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas Ramadan mengumumkan Kerajaan mengambil keputusan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 12 Mei 2020, namun memberi sedikit kelonggaran termasuk membenarkan pelajar IPT pulang ke rumah masing-masing.

Sebelum ini Kerajaan memutuskan pelajar IPT kekal berada di kampus dan di kediaman masing-masing, sepanjang PKP berkuat kuasa sejak 18 Mac lalu bagi mengelakkan pergerakan besar-besaran yang mungkin mencetuskan penularan baharu COVID-19.

Ismail Sabri berkata, perincian mengenai pergerakan pelajar mulai Isnin ini akan dijelaskan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad termasuk SOP yang perlu dipatuhi bagi memastikan perjalanan itu mengikut ketetapan Kementerian Kesihatan (KKM).

Ramai pelajar IPT ingin pulang ke rumah masing-masing berikutan tempoh PKP yang panjang. (Gambar hiasan/NSTP)

“Pergerakan akan dibuat secara berperingkat melibatkan perjalanan ke zon hijau sahaja, namun pelajar yang kampungnya diisytiharkan zon merah boleh pulang ke rumah hali keluarga lain yang terletak di luar zon merah.

“Pelajar juga perlu membuat ujian saringan sebelum menaiki bas meskipun mereka sudah berada di kampus lebih sebulan. Mereka juga akan dibekalkan dengan makanan dan topeng muka,” katanya.

Selain itu, antara SOP yang perlu dipatuhi ialah pelajar yang menggunakan bas akan dipastikan dari segi penjarakan sosial di dalam bas, iaitu hanya 20 penumpang sahaja bagi bas yang mampu menampung 40 penumpang.

Pelajar akan diambil dari kampus dengan bas dan dibawa terus ke daerah masing-masing dan dihantar ke balai polis atau pejabat daerah sebelum dihantar ke rumah masing-masing oleh agensi Kerajaan yang terbabit.

Kredit gambar: BERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA.

Bagi pelajar yang memiliki kenderaan sendiri, mereka dibenarkan memandu pulang dengan syarat perjalanan mereka tidak merentasi sempadan negeri lain dan hanya boleh memandu seorang sahaja dalam satu kenderaan.

Pelajar yang berhasrat pulang ke Sabah dan Sarawak, perjalanan pulang ke negeri masing-masing akan diselia oleh KPT dengan kerjasama kerajaan negeri yang akan mengambil alih proses penghantaran pelajar terbabit sebaik mendarat di lapangan terbang.

Ad Ops