Bagi memudahkan proses pendaftaran vaksin bagi warga emas, kerajaan akan melancarkan elemen baharu dikenali sebagai Pendaftaran Tanggungan dalam aplikasi MySejahtera.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, elemen berkenaan yang sebelum ini ditangguhkan bagi penambahbaikan kini sudah sedia digunakan.
“Ia tertangguh sebentar kerana saya minta aplikasi ini betul-betul lancar. Pembangun aplikasi sudah memberitahu saya ia boleh dilancarkan esok (Jumaat).
“Jadi esok kita akan lancarkan Pendaftaran Tanggungan. Selepas esok, orang ramai boleh mendaftarkan (pendaftaran vaksin) untuk ibu, bapa, datuk atau nenek mereka”.
Tambah beliau, bilangan pendaftaran penerima vaksin untuk PICK Fasa Dua masih rendah dan beliau berharap langkah berkenaan mampu meningkatkan angka pendaftaran bakal penerima vaksin.