Categories: Trending

Percaya Gabungan Naskhah Sarat Mesej, Sentuhan Pelakon Senior Dalam Menanti Senja

Penerbit Hariff Ahamat dan Rosnita Abdul Rahman yang mewakili syarikat produksi Anomali Media & Production percaya dengan gabungan naskhah sarat mesej dan sentuhan pelakon senior dalam naskhah Menanti Senja.

Sedang giat menjalani penggambaran, Menanti Senja yang bakal bersiaran di slot Samarinda TV3 menampilkan pelakon hebat seperti Faizal Hussein, Sherie Merlis, Khatijah Tan, Johan As’ari, Kodi Rasheed, Trisha Ooi, Natasha Mahyan dan ramai lagi.

“Sebelum ini Anomali sering tampil dengan karya seram dan ringan seperti Remang, Puaka Cuti Semester, Keria Women dan sebagainya, kini kami diberi peluang untuk menerbitkan naskhah untuk slot Samarinda.

“Jadi, kami memilih karya Menanti Senja dan membariskan gabungan pelakon senior yang berpengalaman bersama pelakon baharu berbakat.

 

“Kami percaya dengan gabungan naskhah sarat mesej digabungkan dengan lakonan bintang senior seperti Faizal, Sherie dan Khatijah dapat menarik minat penonton,” kata Hariff kepada XTRA.

Tambah Rosnita, Menanti Senja menampilkan jalan cerita air mata dan mendapat sedikit cebisan inspirasi dalam naskhah Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

“Kami mengkaji untuk slot Samarinda, penonton gemarkan cerita air mata. Jadi, kami mendapat ilham untuk menggabungkan dua idea cerita P Ramlee, Penarik Beca dan Ibu Mertuaku.

“Jika Ibu Mertuaku menampilkan ibu yang garang, naskhah kami menampilkan ayah yang mempunyai sifat sebegitu dan sesuaikan ia dengan situasi semasa. Kami berharap agar naskhah ini mendapat sambutan ramai, Insya-Allah,” katanya.

Hariff dan Rosnita ditemui di set penggambaran Menanti Senja di Kajang, baru-baru ini.

Membariskan Marjiena Abdul selaku penerbit penyelaras, drama bersiri ini mendapat sentuhan Faizal Nadxaman selaku sutradara.

Menanti Senja dijangka bakal ditayangkan di TV3 tahun hadapan.

Padin