Categories: FeaturedTrending

Pernah miliki pengikut Instagram teramai, Selena Gomez kini kurangkan penggunaan media sosial

Pada suatu ketika dulu, Selena Gomez pernah menduduki takhta selebriti dengan pengikut Instagram paling tinggi.

Walaupun penyanyi dan pelakon dari Amerika Syarikat ini tidak lagi memegang gelaran berkenaan, jumlah pengikutnya masih mengagumkan, iaitu 152 juta.

Bagi seorang artis, platform digital amat penting untuk berkomunikasi dengan peminat. Sebelum ini, Selena akui yang beliau memang rajin memuat naik gambar dan berinteraksi dengan pengikutnya.

Tetapi yang peliknya, baru-baru ini, beliau membuat keputusan untuk mengurangkan penggunaan media sosialnya. Eh, kenapa pula?

“Saya rasa menghabiskan masa dengan memikirkan mengenai komen-komen orang lain dan menghadamnya sudah menjadi sesuatu yang tidak sihat bagi anak-anak muda seperti saya.

“Ia memberi kesan kepada saya, ia membuat saya murung. Komen negatif itu juga membuatkan saya rasa tidak bagus terhadap diri sendiri.

“Saya akan mempunyai pandangan lain terhadap badan saya, dan banyak lagi,” kata Selena ketika ditemu bual yang disiarkan menerusi portal E!.

Ketika ini, Selena masih lagi memiliki akaun media sosial tetapi telefon pintarnya tidak lagi menyimpan sebarang aplikasi mudah alih berkenaan.

“Akaun berkenaan ada di dalam telefon orang lain. Apabila saya rasa ingin berkongsi sesuatu dengan peminat atau sahaja main-main, saya akan pinjam telefon berkenaan dan menggunakannya,” katanya.

Tidak selamat

Ini bukanlah pertama kali Selena berkongsi pendapatnya mengenai media sosial. Pada sidang media bagi Festival Filem Cannes 2019 baru-baru ini, beliau berkata platform ini tidak lagi boleh dianggap selamat.

“Saya memang berterima kasih yang platform ini wujud untuk saya. Setiap kali saya memuat naik gambar, saya ada niat yang baik.

“Tetapi kadangkala ia menakutkan saya. Saya sering berjumpa dengan gadis-gadis yang murung kerana dibuli menerusi platform ini.

“Ternyata media sosial amat berguna dalam hidup kita, tetapi saya mencadangkan supaya berhati-hati dan tetapkan had dari segi berapa banyak masa anda patut meluangkan masa untuk menggunakannya,” katanya.

Selena sendiri telah mula menjauhkan diri daripada platform ini pada penghujung tahun lalu. Ketika ini, beliau mendaftarkan diri ke sebuah pusat rawatan bagi mengubati kemurungan yang dirasai.

Kini ada banyak lagi perkara yang Selena boleh fokuskan, seperti filem terbaharunya The Dead Don’t Die dan album muziknya yang akan datang.

Adakah anda setuju dengan hujah-hujah yang Selena bentangkan? Apa pendapat anda mengenai laman media sosial?

Ad Ops