Dalam perutusan Khas YAB Perdana Menteri hari ini, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin memaklumkan beliau akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen selepas penularan wabak COVID-19 reda, sekali gus memastikan Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan dengan selamat.
“Kerajaan mengumumkan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 18 Februari 2021. Dalam tempoh dua minggu ini, kerajaan akan memantau perkembangan kes-kes harian COVID-19 mengikut sektor dan lokaliti serta menilai semula keberkesanan PKP yang dilaksanakan.
“Apapun tindakan atau langkah seterusnya yang akan diambil oleh kerajaan pastinya berasaskan kepada matlamat untuk mengimbangi keperluan menjamin kelangsungan hidup rakyat dan melindungi nyawa anda semua,” katanya.
Sehubungan itu Perdana Menteri meminta pemimpin kerajaan mahupun pembangkang untuk bersama-sama berganding bahu dan menggembleng usaha memerangi wabak COVID-19 tanpa mengira perbezaan fahaman politik.