Categories: Trending

Polis Sahkan Baby Adam Meninggal Kerana Pneumonia, Tiada Unsur Jenayah

Polis mengesahkan kematian bayi lelaki berusia 10 bulan bernama Muhammad Adam Rizqi Abdul Azim atau Baby Adam pada 2020, tiada sebarang unsur jenayah.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, laporan bedah siasat turut menunjukkan tiada sebarang unsur jenayah dikesan dalam kematian bayi terbabit.

Menerusi hasil penelitian polis terhadap laporan bedah siasat ke atas Adam yang dikeluarkan pihak Hospital Kuala Lumpur, punca sebenar kematiannya adalah disebabkan pneumonia atau radang paru-paru.

Selain itu, melalui hasil semakan, pihaknya turut mendapati satu laporan dibuat oleh pemilik Rumah Bonda berhubung kematian Adam susulan kes yang membabitkan mangsa kanak-kanak bernama Bella.

“Semakan menyeluruh berhubung kejadian yang membabitkan Rumah Bonda dibuat ekoran laporan yang membabitkan mangsa kanak-kanak bernama Bella.

“Ia menjadi ‘trigger point’ (titik pencetus) untuk kita semak semua apa lagi kes yang dilaporkan serta isu lain berkaitan Rumah Bonda,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mendapati terdapat sekurang-kurangnya 10 laporan polis diterima terhadap pemilik Rumah Bonda terutamanya selepas kes berkaitan Bella didedahkan.

“Ada kes-kes yang dibuka kertas siasatan dan ada kes yang tidak dibuka kertas siasatan kerana didapati tiada unsur jenayah.
“Ia termasuk laporan membabitkan kematian Baby Adam yang dibuat sendiri oleh pemilik Rumah Bonda, kita semak juga.

“Dan hasil semakan, kita mendapati laporan bedah siasat oleh doktor mengesahkan kematian disebabkan oleh pneumonia dan tidak ada unsur-unsur jenayah,” katanya.

Beliau amat berterima kasih atas keprihatinan pelbagai pihak terhadap isu berkaitan kanak-kanak termasuk kematian bayi berkenaan.

Sumber: Harian Metro

Fatin Nurain