Trending By: Padin October 16, 2021 @ 8:51pm

Sajian Program Istimewa Di TV3 Bersempena Dengan Sambutan Maulidur Rasul

Hari keputeraan Nabi Muhammad SAW merupakan hari yang bersejarah dalam kalendar Islam. Setiap kali menjelang 12 Rabiulawal, bersamaan dengan 19 Oktober 2021, umat Islam di seluruh dunia akan menyambutnya dengan pelbagai aktiviti ilmu, ceramah dan juga menerusi program-program yang memberi manfaat kepada semua.

Pelbagai genre program terbitan TV3 seperti Tanyalah Ustaz, Majalah 3, Malaysia Hari Ini (MHI), Wanita Hari Ini (WHI) akan berkongsi topik-topik istimewa sempena sambutan Maulidur Rasul. Tidak ketinggalan juga dokumentari istimewa ‘Pembawa Rahmat’ dan dua telefilem khas, ‘Maulidur Datang Lagi’ dan ‘Mencari Siratul Mustaqeem’.

Sambutan Maulidur Rasul disambut sehari lebih awal di TV3 bermula dengan Majalah 3 pada hari Isnin, 18 Oktober pada pukul 9.00 malam dengan dua kisah menarik iaitu “Pemahat Tanda Pusara” yang mengisahkan seorang pengukir batu nisan untuk tanah perkuburan Islam.

Uniknya insan ini berbangsa Cina dan mahir dalam tulisan Jawi. Kuah adalah generasi ketiga pewaris perusahaan keluarga yang menggunakan batu sungai untuk membentuk batu nisan secara tradisional. Pada usianya yang semakin lanjut, dia gusar tiadanya kelahiran pewaris seni pemahat pusara itu.

Kisah seterusnya ialah “Diari Udey dan Hagia”. Kisah pengorbanan seorang ayah, Udey Ismail terhadap anaknya, Hagia. Dikurniakan anak istimewa iaitu menghidap autisme banyak mengajar Udey lebih bersemangat dan sabar dengan ujian-Nya.

Kasih sayang terhadap Hagia membuatkan dia mengambil keputusan untuk korbankan minat dan kerjaya dalam bidang fotografi dan pemandu pelancong. Menurutnya, didikan dan prihatin lebih buat Hagia lebih penting dari segalanya. Walaupun pada asalnya, dia lebih sukar menerima kenyataan dengan situasi anaknya.

Malah, kelahiran anak keduanya Indra, lebih memberi cabaran dan menjentik hatinya. Indra pernah menyatakan dia benci pada kakaknya kerana tidak boleh bercakap. Selaku seorang ayah, menjadi tanggungjawab besar untuk fahamkan kondisi Hagia yang “istimewa” dan pengertian Autisme kepada Indra.

Selain pengorbanan, kasih sayang dan kesabaran yang ingin ditonjolkan, kepentingan didikan ibu bapa terhadap anak-anak yang mengikut tatacara sunnah Rasullullah S.A.W. Seperti mengenal Allah. Contohnya terapi berlari di hutan dapat mendekatkan Hagia dengan alam dan penciptanya

Seterusnya diikuti dengan drama Maulidur Rasul Datang Lagi pada pukul 10.00 malam. Drama lakonan Ropie, Nafiz Muaz, Eyka Farhana, Razak Ahmad, Aleza Shadan, Erul Samah dan Johan As’ari ini mengisahkan tentang seorang lelaki berumur 22 tahun bernama Adam yang ingin berubah dari seorang gangster kepada seorang yang baik.

Perubahan Adam berlaku apabila dia berjumpa Felora yang membantunya ketika teruk dibelasah oleh sekumpulan gangster. Felora mengajak Adam untuk memasuki pertandingan nasyid anjurannya. Rakan-rakan gangster Adam mentertawakannya kerana menganggap gangster tak boleh bernasyid.

Mereka terkejut apabila Adam memberitahu mereka pertandingan itu menjanjikan hadiah wang tunai. Adam pula mulai menyedari cara kehidupannya yang salah dan cuba berubah. Pelbagai cabaran dihadapi oleh Adam. Bagaimanakah kesudahan Adam dan rakan-rakan gangsternya?

Keesokan pagi pada pukul 6.30 pagi, 19 Oktober, Tanyalah Ustaz Istimewa Maulidur Rasul akan membawa topik yang sangat bermanfaat iaitu “Al-Quran, Mukjizat Rasulullah SAW”. Tanyalah Ustaz akan dibawakan oleh Da’i Hadhari selaku moderator di samping panel istimewa Profesor Madya Dr Haji Mohd Farid Ravi Abdullah dan penampilan khas Kumpulan UNIC.

Topik kali ini mengupaskan tentang tujuan diutusnya para rasul dalam menyampaikan risalah. Dengan diutusnya rasul, manusia mengetahui hal-hal yang diperintahkan dan dilarang oleh Allah SWT.

Semua rasul dan nabi membawa risalah tertentu yang berbeza tetapi mereka semua menyampaikan hal yang sama pada masalah-masalah pokok. Nabi Muhammad diberi Al-Quran sebagai mukjizat kepada Baginda sebagai panduan kepada umat seluruhnya.

Diikuti dengan telefilem Mencari Siratul Mustaqeem pada pukul 2.00 petang lakonan Fauziah Nawi, Fasha Sandha, Elisya Sandha, Aidil Aziz, Syafie Naswip dan Fadilah Mansor. Filem syahdu yang memberi pengajaran dan nilai-nilai murni ini mengisahkan tentang Hadijah yang mahu hidup bahagia bersama anak cucunya.

Tiada apa lagi yang dipinta tetapi kebahagiaan keluarga. Dia juga mahu tumpukan perhatian pada Ibadah dan mencari Siratul Mustaqeem. Namun, ujian melanda Hadijah apabila anak-anak ditugaskan berjauhan dan hanya pulang sekali sekala. Lebih teruk lagi apabila pandemik Covid-19 melanda Malaysia dan PKP dilaksanakan.

Anak-anaknya yang bertugas sebagai petugas barisan hadapan (frontliner) tidak dapat balik dan dia dicengkam kesepian. Ditambah dengan hasutan jirannya Senah yang menyakitkan hati dan membandingkan dengan anaknya yang kaya dan dapat hidup bersama.

Situasi ini membuatkan Hadijah sedih namun kehadiran Ali dan keluarga kecilnya memberi sinar kepada Hadijah dan dapatlah beliau menumpang kasih sayang. Kesabaran Hadijah berhasil kerana doa dan restu Hadijah dengan pengorbanan anak-ananya sebagai frontliner sangat berbaloi dan mereka dapat bertemu akhirnya.

Pada pukul 6.00 petang pula, dokumentari “Pembawa Rahmat” di mana penonton dibawa menyelusuri kehidupan seorang penggali kubur, penjaga gajah dan ibu tunggal yang berdepan cabaran tersendiri dalam hidup, terutama ketika pandemik. Penggali kubur, Hilmi Fakimin, dahulunya seorang tukang masak kini mengabdikan diri dengan berkhidmat kepada masyarakat dalam menyempurnakan perjalanan terakhir seorang mukmin di muka bumi ini di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL-Karak. Ketika pandemik, dia telah bekerja sehingga lewat malam kerana terdapat banyak jenazah Covid-19 perlu disemadikan.

Begitu juga dengan Zulkiflie Mohd Ghazali, seorang penjaga gajah yang terus menggandang tanggungjawab menjaga kebajikan gajah meskipun zoo tidak dapat beroperasi hampir 2 tahun. Sikap sayangkan haiwan sudah tersemat dalam jiwanya. Dia menganggap gajah seperti sebahagian keluarganya, terutama Jaya, gajah berusia 30 tahun yang pernah menyelamatkan nyawanya suatu ketika dahulu.

Turut dimuatkan ialah kisah Masjida Yanti Nasution dan 4 orang anak remajanya yang pernah hidup sebagai gelandangan setelah terpaksa keluar dari rumah selepas berlaku perceraian pada tahun 2017. Hilang arah tujuan, Yanti berjaya bangkit dua tahun kemudian dan kini hidup lebih selesa bersama anak-anak dan paling menggembirakan masing-masing semua berjaya dalam pelajaran. Tetapi PKP memberi kesan kepada pendapatannya sebagai tukang masak.

Walaupun berhadapan dengan pelbagai rintangan mereka semua tetap berpegang teguh kepada ajaran Nabi Muhammad SAW dan mencontohi keperibadian Baginda. Usaha dan terus berusaha tanpa berputus asa. Jangan lupa ikuti program-program menarik yang disediakan khas buat anda semua bermula 18 Oktober ini nanti.

Untuk mendapatkan info terkini tentang program kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia. Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia.

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Trending Sun, 19 Jun 2022

“Saya Tak Nak Masuk TV Buat Masa Ni” – Adibah Noor Tolak Tawaran Rakaman Lagu Pada Tarikh Pengebumian

Adibah Noor tolak tawaran untuk keluar televisyen seolah-olah tahu dirinya akan pergi buat selamanya.

Featured Fri, 16 Apr 2021

Rentas Negeri Ke Majlis Kahwin Penyebab Kluster Baru

Semakin hari kes semakin meningkat..

Trending Thu, 26 May 2022

Penunggang Motosikal Mengaku Tidak Bersalah Memukul Warga Emas

Penunggang motosikal belasah warga emas didakwa di Mahkamah.

Drama Wed, 24 Aug 2022
Featured Thu, 14 Oct 2021

“Sekarang Dah Hilang Hormat” – Gara-Gara Biadap Terhadap Warga Emas, Baim Wong Kena Kecam

Baru-baru ini, pelakon terkenal Indonesia, Baim Wong dikecam oleh netizen setelah video dirinya memarahi warga emas di tepi jalan tular di media sosial. Menerusi video tersebut, pelakon itu dilihat bertindak biadap terhadap seorang warga emas […]