Categories: Trending

Tahap Kesihatan Makin Baik, Jasmin Hamid Gembira Dapat Bekerja Seperti Biasa

Pelakon Jasmin Hamid, 48, memberitahu bahawa keadaan kesihatannya kini berada pada tahap yang bagus dan masih lagi boleh bekerja seperti biasa.

Penghujung Mei lalu, Jasmin dimasukkan ke Unit Penjagaan Koronari (CCU) di sebuah hospital kerana mengalami serangan jantung.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang mana tahap kesihatan saya buat masa ini, baik-baik saja. Insya Allah, saya juga masih boleh bekerja macam biasa walaupun pernah mengalami serangan jantung sebelum ini.

“Malah, saya akan menjalani pemeriksaan dengan doktor pakar pada Februari tahun depan. Apapun, sekarang ini saya memang sihat dan boleh berlakon lagi,” ujarnya kepada XTRA ketika sidang media secara virtual drama Anak Beranak Abang Yie semalam.

Tambah Jasmin, dia kini sangat peka terhadap perkembangan kesihatannya dengan menjaga amalan permakanan kerana baginya penjagaan makanan harian sangat penting.

“Kalau rasa kurang sihat dan memang rasa tak boleh bekerja, saya akan berehat secukupnya. Apapun, paling utama adalah menjaga rutin pemakanan yang lebih sihat setiap hari,” ujar Jasmin.

Tampil membintangi Anak Beranak Abang Yie sebagai watak Che Yah, Jasmin berkata drama itu sangat menarik kerana mengisahkan ragam sebuah keluarga ketika berhadapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19 sebelum ini.

Drama yang bakal menghiasi slot Sakura pada jam 6 petang itu akan menemui penonton di TV3 mulai 16 Ogos, dari Isnin hingga Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Didakwa Kahwini Lelaki Muda Punca Jasmin Hamid Kena Heart Attack, Suami Tampil Bersuara – “Stop Komen L*cah! Tak Suka Kami, Abaikan!”

ARTIKEL BERKAITAN: Jasmin Hamid Dimasukkan Ke CCU Akibat Serangan Jantung

Khairil Khusyairi