Categories: Trending

Tak Dapat Tahan Sebak, Riena Diana Menangis Dengar Kisah Wanita OKU

Pelakon Riena Diana gagal menahan sebak apabila mendengar perkongsian seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) bernama Siti Mariam Ismail menerusi platform Instagram Live miliknya.

Riena atau nama sebenarnya, Nur Qamariena Diana Zulreal, 24, menggunakan platform laman sosial terbabit untuk membantu insan-insan yang terpilih setiap minggu dan pada Khamis lalu, Siti dipilih untuk menceritakan pengalaman pahit manisnya.

“Melihatkan ramai orang di luar sana mengalami kesempitan hidup dan bersusah payah mencari rezeki, saya terinspirasi untuk mengadakan segmen tersebut, seminggu sekali.

“Pada Khamis lalu, perkongsian saya bersama Kak Siti benar-benar mengundang sebak. Kita sama-sama berkongsi rezeki, yang mana saya boleh tolong, saya akan cuba tolong mereka.

“Saya hanya mahu membantu sahaja, tak sangka pula ia diperkatakan di laman Twitter,” katanya.

Terdahulu, sedutan video Instagram Live Riena bersama Siti mendapat ratusan retweet di laman Twitter dan diperkatakan oleh wargamaya.

Tambah Riena, dia kagum dengan Siti yang mempunyai semangat yang kuat biarpun memegang status OKU.

Bangkit untuk meneruskan hidup, kini Siti merupakan usahawan dan menjadi pengasas produk kesihatan C-MARY.

“Kak Siti memegang status OKU kerana insiden tergelincir pada awal 2012 sewaktu pulang dari bekerja membuatkan dia tak mampu berjalan seperti biasa.

“Biarpun diuji dengan pelbagai dugaan yang tak tertanggung, Kak Siti nekad untuk mencari
penawar penyakitnya sehinggalah tampil dengan produk sendiri dan akhirnya sembuh.

“Apa yang Kak Siti kongsikan menyentuh perasaan kita. Bila dengar pun, automatik kita akan rasa, Ya Allah, bersyukurnya apa yang aku ada sekarang..

“Contohnya macam saya sendiri. Beberapa hari lepas menangis kerana risau dengan kehidupan serta terpaksa bekerja keras. Tetapi apa-apa pun sebenarnya ada orang lain lagi yang lebih susah daripada kita.

“Jangan sesekali mengeluh kerana mereka lebih susah daripada kita, sebagai contoh kisah Kak Siti tetapi dia tetap kuat,” kata Riena lagi.

Rata-rata peminat memuji sikap prihatin pelakon Kampung People ini yang sudi meluangkan masa dan berkongsi platform untuk membantu mereka yang memerlukan.

Padin