Categories: Trending

Tak Suka Cerita Kisah Peribadi Kepada Umum, Tuju Selit Pengalaman Hidup Dalam Karya

Bekas anggota kumpulan K-Clique, Tuju mengakui tidak suka bekongsi kisah peribadinya kepada umum.

Menurut Tuju, dia lebih selesa untuk selitkan sebahagian daripada kisah hidupnya dalam setiap karya yang dihasilkan.

“Saya tidak suka berkongsikan ‘personal life’ kepada media, atau pun rakan serta orang luar. Tapi, saya suka jadikan ‘personal’ itu di dalam karya saya,” katanya.

Dalam pada itu, Tuju juga sempat memaklumkan dia bakal melancarkan single terbaharunya yang berjudul, Aku Ingin yang turut menceritakan perjalanan hidupnya sepanjang dua tahun kebelakangan ini.

“Jadi, single terbaharu (Aku Ingin) saya ini menceritakan ke mana saya pergi selama dua tahun ini yang mungkin ada orang di luar sana bertanya-tanya. Itulah luahannya.

“Sebagaimana lagu BNKR nyanyian TujuLoca sebelum ini yang saya menceritakan kenapa keluar daripada kumpulan (K-Clique). Saya tidak suka mengangkat telefon (jika dihubungi media).

“Saya mohon maaf kepada media yang pernah menelefon dan mencari saya. Minta maaf, bukan apa sebab saya lebih suka hanya mempersenikan karya berbanding peribadi seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee,” jelasnya.

Sementara itu, Tuju turut menyatakan dia lebih selesa sekiranya pihak media berkongsi dan mengangkat karyanya berbanding gosip kerana mahu menjadi contoh yang baik kepada anak-anak.

“Bagaimanapun, sekiranya ada juga media ingin bertanya apa-apa kepada saya, boleh berurusan dulu dengan pengurus, Kak Su dan insyaAllah, saya boleh saja menjawabnya jika soalan itu sesuai.

“Cuma, saya tidak akan menjawab soalan yang kurang menyenangkan atau tidak baik. Pada saya, lebih baik mengelaknya (beri jawapan) daripada kita melanggar ‘sempadan’ yang diletakkan itu,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Tuju sempat berkongsi dia bakal melancarkan album kedua tidak lama lagi di mana kini dalam proses pembikinan iaitu kira-kira 90 peratus sudah siap.

Fatin Nurain