Categories: Trending

Tasha Shilla kahwin, suami harap isteri dapat jaga adab dan solat

Pelakon sensasi, Tasha Shilla, 33, sah bergelar isteri kepada Muhammad Atiq Idris, 33, dengan sekali lafaz jam 9.59 pagi Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Pasangan sama cantik sama padan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan, Abd Razak Razali dan disaksikan Imam Besar masjid berkenaan, Tuan Haji Ehsan Mohd Hosni.

Pada majlis ringkas itu, Tasha menerima mas kahwin sebanyak RM800 serta sebentuk cincin. Tiada dulang hantaran diserahkan kedua-dua belah pihak manakala wang hantaran juga turut dirahsiakan atas permintaan keluarga.

Menerusi laporan Berita Harian Online, Tasha atau nama penuhnya Nastashashila Abdul Razak meluahkan rasa syukur kerana perancangan majlis yang dirancang dalam masa singkat itu berjalan dengan lancar.

“Alhamdulillah, impian, niat dan hajat yang saya simpan selama ini dipermudahkan. Semuanya berlaku begitu pantas. Saya bersyukur bertemu jodoh dengan lelaki yang dicintai, biarpun semuanya berlaku begitu pantas,” tuturnya yang tampak cantik dan anggun dengan persalinan rona putih rekaan Hatta Dolmat.

Berkongsi mengenai detik perkenalan mereka, Tasha memberitahu dia mengenali Atiq menerusi seorang teman pada Disember lalu. Pasangan itu kemudian mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan pada 23 Februari lalu.

“Perkenalan kami bermula di sebuah acara amal di Masjid Wilayah Persekutuan. Tanpa diduga berputik rasa sayang dan cinta. Tak sangka segala perancangan dipermudahkan. Saya percaya inilah jodoh yang diaturkan Yang Maha Esa.

“Saya juga percaya ada hikmah di sebalik segala-galanya dan inilah cinta sejati yang dicari-cari selama ini. Saya akan tinggal di Singapura mengikut suami selepas selesai majlis bertandang. Semoga fasa baharu dalam kehidupan ini terus mematangkan saya dan suami, Insya-Allah,” katanya sambil akui berasa tenang dan bahagia ketika berada di sisi Atiq.

Sementara itu, Atiq yang bekerja dalam bidang kewangan di Singapura mengakui menyenangi sifat pelakon drama Bunga April itu dan berharap agar Tasha dapat menjadi seorang isteri yang baik.

“Meskipun luaran Tasha nampak garang, dia sebenarnya baik, lembut, menyayangi keluarga, suka kanak kanak dan menjaga solat.

“Saya tidak akan menghalang Tasha meneruskan kerjaya sebagai pelakon. Cuma, saya berharap dia akan menjaga adab dan solat,” katanya.

Pasangan mempelai itu akan diraikan dalam satu majlis resepsi pertama pada petang Jumaat, manakala majlis bertandang akan diadakan minggu hadapan.

Tahniah diucapkan kepada pasangan pengantin baharu dan semoga rumah tangga yang dibina kekal bahagia hingga ke akhir hayat.

Ad Ops