Trending By: SGMS Enal January 26, 2020 @ 3:22pm

TH tanggung kos bayaran visa bakal jemaah haji

Lembaga Tabung Haji (TH) akan menanggung kos bayaran visa 300 Riyal Saudi (SAR) (bersamaan kira-kira RM326) yang perlu dibayar 31,600 bakal jemaah haji selepas kerajaan Arab Saudi memperkenalkan caj berkenaan bermula musim Haji 1441H/2020M.

Pengurus Besar Kanan Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, ia merupakan suatu jumlah yang besar dengan anggaran hampir RM10 juta, namun beliau percaya caj itu dikenakan berdasarkan kepada pelbagai perkhidmatan yang disediakan kepada jemaah haji saban tahun.

“Ingin saya nyatakan di sini TH akan menanggung 300 (SAR). Nak memohon visa bagi mana-mana negara sudah tentu akan ada caj. Saya yakin ada sebab kenapa kerajaan Arab Saudi kenakan caj ini.

“Dengan kemudahan luar biasa yang mereka (kerajaan Arab Saudi) berikan, mereka sediakan pelbagai kemudahan serta perkhidmatan kepada tetamu Allah untuk memudahkan mereka mengerjakan haji dan mencapai haji mabrur,” katanya.
Syed Saleh berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk ‘Pengurusan Haji: Cabaran Masa Kini’ terbitan Bernama TV baru-baru ini.

Syed Saleh, yang juga Ketua Rombongan Haji berkata, caj yang dikenakan itu merupakan peraturan baharu dikeluarkan kerajaan Arab Saudi kepada semua jemaah dari seluruh dunia selepas memansuhkan bayaran 2,000 Riyal Saudi (RM2,168) yang dikenakan kepada jemaah haji berulang.

Pada 22 Januari, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya semasa mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Mohammad Saleh bin Taher Benten berhubung isu-isu berkenaan hal ehwal pengurusan dan persiapan jemaah haji dari Malaysia bagi musim haji 1441H.

Mengenai kos menunaikan haji, walaupun TH berhadapan dengan faktor peningkatan kos setiap tahun, beliau memberi jaminan bahawa kos itu masih kekal ketika ini, namun TH akan meneliti perkara itu demi kelangsungannya sebagai pengurus dana 9.4 juta pendeposit.

“Kalau kita lihat pada 2009, kos menunaikan haji hanya RM12,600 namun tahun lepas meningkat kepada RM22,900, ia satu peningkatan begitu mendadak. Tetapi kita kekalkan bantuan haji, jemaah haji berdaftar yang menunaikan haji di bawah kelolaan TH hanya tanggung RM9,980.

“Peningkatan ini menjadi cabaran kepada kita. Sudah tiba masanya kita melihat perkara ini sebab kita mahu kekalkan perkhidmatan bertaraf dunia namun pada masa sama peningkatan kos menjadi cabaran di luar kawalan,” katanya.

Berkongsi Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) bagi pengurusan haji tahun lepas, Syed Saleh berkata, ia mencapai tahap 90 peratus bagi musim haji 1440H.

“Bagi saya angka ini cukup tinggi kerana kita beroperasi di negara orang, pelanggan kita (jemaah haji) adalah mereka dalam kalangan golongan lanjut usia yang mungkin tidak pernah ke luar negara tetapi kita dapat kendalikan dengan baik. Mereka suarakan kepuasan pada indeks yang cukup tinggi,” katanya.

Bagi melancarkan operasi haji tahun ini, beliau berkata, seramai 600 petugas TH akan terlibat dalam pengendalian pengurusan haji termasuk 250 petugas perubatan yang melibatkan 60 doktor dan doktor pakar, 50 pembimbing haji serta selebihnya petugas Jabatan Pendaftaran Negara dan kaunselor.

Seramai 31,600 bakal jemaah haji akan mengerjakan haji musim ini berbanding 30,200 jemaah tahun lepas yang dijadualkan menerima surat tawaran secara berperingkat mulai Selasa.

Pertambahan kuota itu merupakan hasil rundingan kerajaan Malaysia khususnya TH dengan kerajaan Arab Saudi untuk mempertimbangkan kenaikan jumlah kuota seiring dengan peningkatan jumlah penduduk negara ini. – BERNAMA

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Trending Fri, 24 Apr 2020

“Billboard” Di Amerika Papar Cara Berdepan Ancaman Wabak Ikut Nasihat Hadis Nabi

Hadis berusia lebih 1400 tahun dijadikan sebagai nasihat pada hari ini

Trending Mon, 29 Oct 2018

Experts Say Playtime is Very Important for Children

We need to let kids play more often.

Trending Thu, 11 Jul 2019

Netflix Subscribers are Freaking Out because of a Hoax Roaming Around Twitter!

This could be just a hoax but Twitter users shared way too many experiences that this could actually be true!

Trending Thu, 30 Apr 2020
Trending Wed, 11 Apr 2018

May 9th Officially a Public Holiday in Conjunction with GE14!

The government just announced it so that everyone can easily vote.

Trending Fri, 9 Feb 2018

Dijangkiti ‘Cacing Dalam Kaki’ Gara-Gara

Pengalaman Ngeri, Saya Dan Suami Dijangkiti ‘Cacing Dalam Kaki’ Gara-Gara Tidak Pakai Kasut Semasa Main Air Di Tepi Pantai

| Live TV