Categories: Trending

Tiga Bulan Tak Terikat Dengan Penggambaran, Johan As’ari Tak Sangka Dapat Jana Pendapatan Menerusi TikTok

Pelakon Johan As’ari tidak menyangka dia dapat menjana pendapatan menerusi sesi live di aplikasi TikTok.

Tiga bulan tiada tawaran lakonan, Johan bersyukur kerana TikTok menjadi medium terbaharu untuk dirinya meraih pendapatan.

“Sudah tiga bulan saya tidak menerima sebarang tawaran lakonan, jadi saya sendiri tak sangka percubaan saya untuk bersiaran di TikTok membuahkan hasil.

“Saya sendiri tidak merancang perkara itu. Bermula dengan suka-suka, akhirnya ia membuahkan hasil yang baik. Saya sendiri tiada peralatan untuk ‘live’ seperti tripod, rig light dan sebagainya.

“Saya hanya sandarkan telefon di kotak kurma dan mulakan sesi ‘live’. Saya benar-benar tak sangka pengguna aplikasi terbabit menggemari kandungan yang saya bawakan di sesi siaran langsung dan mereka memberikan saya hadiah. Menerusi hadiah ini, ia boleh menjana pendapatan,” katanya.

Menurut Johan, pada awalnya dia hanya mahu mengisi masa lapang sahaja kerana tidak terlibat dengan sebarang penggambaran.

“Saya hanya nak borak-borak dengan pengikut di TikTok, sekadar mahu isi masa lapang kerana saya tidak terikat dengan sebarang penggambaran. Setiap hari pun saya akan berborak dengan peminat mengenai topik sama.

Sama ada mengenai kehidupan seharian atau topik spontan, semuanya tidak dirancang. Mungkin itu yang menarik minat orang ramai di aplikasi terbabit,” katanya.

Johan ditemui pada Majlis Menandatangani Hubungan Kerjasama Antara Kami Sempoi International Agency (KSIA) dan Kelab Wanita Ikon Malaysia Kempen CSR ‘Are You Ok?’ serta pelancaran Pejabat Urusan KSIA cawangan Kuala Lumpur di Quill City Mall, baru-baru ini.

Di bawah kelolaan Ketua Pegawai Eksekutif KSIA, To Chin Swee atau lebih dikenali sebagai Pakcik Chin Swee, ia merupakan sebuah agensi di bawah TikTok Malaysia yang mengumpulkan ramai pempengaruh TikTok dan selebriti antaranya Datuk Seri Eizlan Yusof, Riezman Khuzaimi, Zed Zaidi, Dazrin Kamarudin, Nita Hamzah dan ramai lagi.

Menurut Pakcik Chin Swee, pengguna boleh menjana pendapatan sehingga RM1,000 sehari menerusi penggunaan platform TikTok dengan hanya mengekalkan momentum dan disiplin rutin di laman TikTok.

“Sehingga kini, jumlah TikTokers yang berada di bawah kelolaannya berjaya memperoleh lebih RM100,000 sebulan hasil penggunaan platform TikTok secara konsisten.

“Platform TikTok bukan sekadar untuk mencari hiburan semata-mata, platform ini juga telah melahirkan bakat baru dunia hiburan, malah mereka juga boleh menjana pendapatan melaluinya.

“Sehingga kini seramai 670 orang TikTokers berada di bawah agensi kami dan mereka dibahagikan kepada empat kategori iaitu Silver Host, Gold Host, Platinum Host dan Celebrity Host.

“Rata-rata top talent kami memperoleh tidak kurang antara RM50,000 hingga RM120,000 sebulan sebagai sumber pendapatan. Terbuka untuk menerima bakat baru, kami mensasarkan seramai 2,400 hos di bawah KSIA pada tahun ini. Kami akan ajar daripada zero to hero,” katanya.

Dalam pada itu, KSIA turut menjayakan Kempen ‘ARE YOU OK” bersama Kelab Wanita Ikon untuk meningkatkan kesedaran dalam menangani masalah psikologi mental khususnya di kalangan wanita.

Terdahulu KSIA telah ditubuhkan pada 12 Disember 2021 setelah dilantik sebagai salah satu agensi dibawah pihak pengurusan TikTok Malaysia.

Padin