Categories: FeaturedTrending

Tom patah hati, ini pengakhiran kisah Tom & Jerry yang ramai tidak tahu!

Sebut saja dua nama ini, Tom dan Jerry, pasti terbayangkan aksi kejar-mengejar seekor kucing dan tikus yang memang tak akan pernah sebulu hati.

Siri animasi komedi yang diterbitkan pada 1940-an itu, merupakan rancangan kartun digemari ramai, malah penulis antara generasi ketiga yang membesar dengannya. Meskipun diulang tayang ratusan kali atau lebih, Tom & Jerry kekal meraih jumlah tontonan yang tinggi bagi setiap generasi.

Kehebatan Tom & Jerry itu sehinggakan beberapa kali meraih penghargaan pada Anugerah Oscar (Academy Award).

Khamis lalu, peminat Tom & Jerry dikejutkan dengan berita kematian pengarah siri animasi berkenaan, Gene Deitch, di pangsapuri miliknya di Prague.

Menurut laporan Mirror.Uk, Gene atau nama sebenarnya, Eugene Merrill Deitch, 95, turut dikenali kerana mencipta kartun animasi seperti ‘Munro’, ‘Tom Terrific’, ‘Nudnik’ dan juga ‘Popeye’.

Menelusuri serba sedikit kisah hidup mendiang, beliau pernah bekerja sebagai pelukis untuk Penerbangan Amerika Utara selepas tamat belajar sebelum menyertai tentera dan latihan juruterbang.

Bersempena pemergian pengarah animasi tersohor itu, Hijab & Heels ingin membuat satu pendedahan mengenai episod terakhir Tom & Jerry (1956) yang tidak diketahui ramai.

Ini kerana karya juruanimasi William Hanna dan Josep Barbera itu tidak mendapat kebenaran untuk ditayangkan di beberapa negara termasuk Malaysia. Gara-gara, episod terakhir berjudul Blue Cats Blues yang memaparkan aksi ekstrem dan dibimbangi boleh mempengaruhi pemikiran kanak-kanak.

Episod berdurasi 4 minit 58 saat itu tidak lagi memaparkan pertelingkahan antara Tom dan Jerry yang sememangnya gemar bersaing, akan tetapi menumpukan kisah percintaan mereka berdua dengan pasangan masing-masing.

Tom jatuh cinta kepada kucing betina putih, Toodles Galore yang menjadi primadona semua kucing jantan. Tom sanggup melakukan apa sahaja untuk si pujaan hati, mulai dari membelikannya bunga, cincin hingga kenderaan mewah. Namun begitu, ternyata ada kucing lain yang bernama Bunch lebih kaya dan dapat memberikan segala yang diingini Toodles.

Tom berasa amat sedih memandangkan dia telah menyerahkan segalanya demi membahagiakan kucing betina idamannya itu termasuk menjual rumah dan bekerja tanpa tidur demi mendapatkan wang, namun begitu segala usaha hanya sia-sia.

Foto: Alchetron

Berbeza dengan Tom, Jerry hidup bahagia bersama kekasihnya, Toots. Akan tetapi pada suatu waktu dia berasa bosan kerana sudah lama Tom tidak lagi mengganggunya. Dia mendekati Tom, namun pelik melihat keadaan musuh ketatnya dalam keadaan bersedih. Jerry cuba membantu Tom untuk melupakan kesedihannya, tapi tidak berjaya.

Pada akhirnya, Toodles mengumumkan perkahwinannya dengan Bunch. Tom yang putus harapan lalu memutuskan untuk membunuh diri di rel kereta api.

Begitulah pengakhiran kisah pilu hidup Tom yang ramai tidak tahu.

Sumber: YouTube

Bagaimanapun, siri popular ini kembali dengan jalan cerita baharu, malah filem versi baharu yang lebih berinovasi menggunakan teknologi lebih canggih dan efisien pada 1992, iaitu selepas 36 tahun hilang dari radar!

Yanie Baharom