Isu Langgar Kontrak Produksi A. Aida, Amelia Henderson Berjaya Tangguh Permohonan Maaf & Bayaran Ganti Rugi RM200,000

Pelakon dan pengacara, Amelia Henderson berjaya menangguhkan permohonan maaf dan bayaran ganti rugi lebih RM200,000 terhadap syarikat produksi, A. Aida berhubung isu pelanggaran kontrak sebuah drama tahun lalu.

Memetik laporan Harian Metro, Hakim Mahkamah Sesyen Zulqarnain Hasssan membuat keputusan selepas membenarkan rayuan Amelia atau nama sebenar Amelia Henderson Thripura Henderson selaku pemohon.

Mahkamah menggunakan budi bicara dan membenarkan permohonan penggantungan perintah yang menghendaki permohonan maaf secara terbuka dan penghapusan video daripada akaun Instagram Defenden Pertama (Amelia).

Selain itu, pihak mahkamah turut membenarkan penangguhan pembayaran ganti rugi lebih RM200,000 tersebut.

Namun, mahkamah memerintahkan supaya wang itu dimasukkan ke dalam akaun bersama yang akan dikendalikan oleh kedua-dua firma guaman yang mewakili syarikat produksi itu dan Amelia.

Sebelum ini, Amelia menfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan ganti rugi pada 7 April lalu.

Hakim Zulqarnain memutuskan demikian selepas membenarkan tuntutan saman yang difailkan syarikat produksi itu selaku plaintif terhadap saman yang dikemukakan kepada Amelia selaku defendan.

“Mahkamah mendapati Amelia diikat dengan kontrak yang ditandatangani dalam drama Sekali Lagi Cinta Kembali.

“Mahkamah juga mendapati Amelia sendiri bersetuju membintangi drama itu selain turut bersetuju watak yang ditawarkan iaitu ‘Aira’ yang mana Amelia adalah heroin dalam drama itu,” katanya.

Oleh itu, mahkamah memerintahkan Amelia membayar ganti rugi am selain faedah lima peratus kepada plaintif yang kesemuanya berjumlah lebih RM200,000.

Untuk rekod, seramai tiga saksi daripada plantif termasuk A Aida atau nama sebenarnya Datuk Zaidah Awang, 53, dan tiga saksi defendan termasuk Amelia sendiri hadir untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula 1 November tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu Langgar Kontrak & Bayaran Ganti Rugi RM200,000, A. Aida Persoal Sikap Amelia Henderson – “Susah Sangat Ke Nak Mohon Maaf?”

Maya Basir