Gara-Gara Tegur Berkaitan Hutang, 4 Sekeluarga Ditetak

Polis mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes menetak empat sekeluarga di sebuah ladang di Kampung Cahaya Baru, Beluran, Sandakan pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, mereka merupakan anak beranak berusia 23 dan 51 tahun.

Difahamkan, kejadian itu berlaku selepas salah seorang mangsa wanita menegur kakak suspek berkaitan hutang sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

“Keadaan itu menyebabkan suspek berusia 23 tahun berang lalu menyerang mangsa dengan menggunakan parang.

“Suami wanita itu yang cuba menghalang perbuatan tersebut turut ditetak di bahagian tangan,” katanya.

Mengulas lanjut, Kasim berkata, penyelia ladang yang menyedari kejadian itu kemudian membawa mangsa ke pejabat bagi mengelak keadaan menjadi semakin tidak terkawal.

“Suspek kemudiannya pulang ke rumah sebelum datang semula bersama bapanya dan menetak tiga lagi ahli keluarga mangsa sehingga parah sebelum melarikan diri.

“Keempat-empat mangsa terbabit dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk rawatan dan dilaporkan stabil,” katanya.

 

Sumber: Kosmo!

Marcella