Orang awam di sebuah stesen minyak di Danau Kota, Setapak dikejutkan dengan penemuan janin bayi lelaki dipercayai cukup sifat di dalam mangkuk tandas stesen minyak berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superitendan Ashaari Abu Samah, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira pukul 4.57 petang.
“Pihak polis telah menjalankan siasatan berhubung kejadian. Dan hasil siasatan awal mendapati janin lelaki yang dianggarkan berusia enam hingga lapan bulan itu telah dibuang dalam mangkuk tandas terbabit,” katanya.

Kredit foto: IPD Wangsa Maju
Tegasnya lagi, janin tersebut turut dibawa ke unit forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Justeru itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian tersebut agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03- 92899222 ATAU Hotline Kuala Lumpur 03-21159999.
Kes ini juga disiasat mengikut seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat dengan sulit yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sumber: Bernama