Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menasihatkan semua pihak supaya menghormati proses penentuan rasmi tarikh Hari Raya di negara ini.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, proses tersebut telah dilaksanakan sejak sekian lama dan menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada pihak berautoriti.

Jelasnya, Malaysia menggunakan kaedah Rukyah dan Hisab dalam menentukan awal bulan hijri termasuk tarikh awal puasa, Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha selaras dengan kehendak syarak dan mengikut kaedah ilmu falak serta astronomi yang telah dipersetujui semua negeri.

Menurutnya, pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidil Fitri akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja Raja (PMBRR) selaku pihak berkuasa yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja pada malam tersebut tertakluk kepada hasil aktiviti cerapan anak bulan di semua lokasi yang telah ditetapkan.

Kenyataan ini dibuat selepas tularnya tangkap layar perkongsian yang mendakwa sambutan Aidilfitri pada tahun ini akan disambut sehari lebih awal iaitu pada 2 Mei 2022 berbeza dari kalendar yang ditetapkan.

Sumber: BH, Facebook JAKIM