“Reaksi Saya Agak Keterlaluan…”- Imam Besar Masjid Putrajaya Mohon Maaf Isu Layanan ‘Double Standard’

Imam Besar Masjid Putra, Ikmal Zaidi Hashim memohon maaf secara terbuka berhubung kenyataannya mengenai isu layanan ‘double standard’ dan pemberian kuota kepada orang kenamaan atau VIP di Masjid Putrajaya baru baru ini.

Menerusi satu video yang dimuat naik di laman Facebook Masjid Putra,  Ikmal memaklumkan, pihaknya akan memperbaiki keadaan tersebut terutamanya pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di masjid berkenaan.

“Saya Imam Besar Masjid Putra, ingin memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam yang mengetahui kes ini secara jauh mahupun dekat diatas reaksi saya yang dilihat agak keterlaluan berhubung video yang tular di media massa dan sosial pada Jumaat lalu.

“Dengan rendah hati saya ingin memohon maaf diatas segala keterlanjuran berkenaan dan berazam serta berjanji akan memperbaiki keadaan terutamanya mengenai pelaksanaan SOP di Masjid Putra,”katanya.

Justeru itu, Ikmal mengajak jemaah masjid berkenaan untuk terus mengimarahkan aktiviti sama ada bagi solat Jumaat atau fardu serta program yang dianjurkan oleh pihak Masjid Putra.

Terdahulu, Ikmal menyatakan beliau tidak reda dengan penyebaran video sebelum ini dan menjelaskan bahawa Masjid Putra sememangnya memperuntukkan kuota khas untuk VIP.

Salma Syahbuddin