Categories: Trending

“Untuk Mereka Yang Merindui Orang Yang….” – Naim Daniel Muncul Dengan Purnama

Selepas kejayaan lagu Sembah, pelakon dan penyanyi Naim Daniel muncul dengan single terbaru yang berjudul Purnama.

Lagu yang mengangkat genre balada ini merupakan hasil ciptaan Amzar Razqa, Hanis Rafi dan Omar K.

Menurut Naim, lagu terbarunya ini didedikasikan untuk mereka yang merindukan seseorang.

“Lagu Purnama ini ditujukan khas buat mereka yang merindui orang yang mereka kasihi dan sentiasa mendoakan mereka walaupun mereka sudah tiada.

“Jadi buat semua yang masih hidup, sentiasa hargai dan beritahu keluarga dan rakan-rakan yang rapat bahawa anda menyayangi mereka sebelum terlambat,” kata Naim.

Menurut Amzar selaku pencipta lagu pula, idea untuk berkolaborasi dengan Naim diberikan oleh salah seorang sahabatnya.

“Salah seorang teman rapat saya yang mencadangkan saya untuk memberikan lagu ini kepada Naim.

“Ternyata, Naim adalah penyanyi yang sesuai dan terbaik buat lagu Purnama ini. Saya harap lagu ini mendapat sambutan positif,” katanya.

Bagi lagu Purnama ini, syarikat rakaman Naim, World Peace Entertainment telah menampilkan muzik video yang mengisahkan tentang seorang lelaki yang mengalami tekanan emosi dan mental setelah kehilangan seseorang yang dia kasihi.

Muzik video ini boleh mula ditonton pada jam 8 malam ini di saluran YouTube World Peace Entertainment.

Istimewa untuk peminat-peminat Naim, lagu ‘Purnama’ terbitan World Peace Entertainment ini boleh didapati dan dimuat turun di semua streaming platform seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX dan lain-lain.

Padin