Categories: DramaTrending

Pertama Kali Bergandingan Dalam Drama ‘Leha, Leya Lawa’… Muaz Zabir Sifatkan Bella Astillah Pelakon Hebat

Pelakon Muaz Zabir mengakui senang bekerjasama dengan aktres, Bella Astillah menerusi drama bersiri terbaharu Tonton, ‘Leha, Leya Lawa’.

Menurut Muaz, Bella merupakan seorang pelakon yang bagus meskipun baru pertama kali bergandingan dalam drama.

“Ini pertama kali saya bergandingan dengan Bella Astillah. Alhamdulillah, dia seorang pelakon yang sangat bagus, sangat memberi.

“Bila dapat partner yang memberi, kita juga akan memberi. Itu adalah pengalaman yang baik saya dengan Bella,” katanya.

Bercerita lanjut tentang drama tersebut, Muaz menyatakan dia perlu menjayakan watak sebagai John yang perlu memikat seorang wanita yang lebih bekerjaya daripadanya.

“Watak saya dalam drama ini, John. Bagi saya watak ini tidaklah susah sangat dan tidaklah senang sangat. Masing-masing setiap watak tu ada cabaran dia sendiri.

“Untuk John ni, dia minat kereta. Jadi cabaran adalah untuk pikat seorang wanita yang lebih establish daripada dia dan tidak susah sangat untuk bawa watak ini,” jelasnya.

Tambah Muaz, dia sangat seronok bekerjasama dengan setiap individu yang terlibat menerusi drama ini kerana mereka menjalankan tanggungjawab dengan baik.

“Untuk pengalaman shoot Leha, Leya, Lawa saya rasa itu satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan sebab saya dikurniakan pasukan yang baik di mana pengarah yang sangat membantu dalam bidang lakonan.

“Krew-krew pun ada yang sentiasa membantu kami di set dan juga pasukan pelakon yang sangat bertanggungjawab dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing. Semua memberi.

“Bila kita dapat pasukan yang seronok, itu adalah salah satu pengalaman yang kita tidak dapat lupakan. Jadi pengalaman itu adalah pengalaman yang baik-baik semuanya,” ujarnya.

Selain Muaz dan Bella drama ini turut menggandingkan pelakon-pelakon hebat seperti Didi Astillah, Ezaidi Aziz, Hazeeq Dean, Ropie, Amyza Aznan, Fathil Dani dan Carissa Azhar.

Drama bersiri 15 episod terbitan Million Pictures Sdn Bhd yang pertama kali menggandingkan adik-beradik ini merupakan idea asal pengarah, Azhar Khalid dan Hana Hussain sebagai penerbit. Pelbagai mesej yang ingin disampaikan menerusi drama ini, antaranya adalah unsur-unsur kekeluargaan, persahabatan dan percintaan.

SINOPSIS:

Leha (Bella Astillah) mempunyai seorang adik, Leya (Didi Astillah) yang merupakan seorang yang manja dan kuat merajuk. Leha dan Leya sama-sama mengusahakan butik pengantin peninggalan arwah ibunya dan masing-masing mempunyai kepakaran tersendiri seperti Leha pakar dalam bidang solekan serta reka bentuk manakala Leya pula mempunyai kepakaran dalam bidang masakan dan dekorasi.

Leya sedang hangat bercinta dengan Jangkho (Ezaidi Aziz) seorang anak muda yang terpengaruh dengan cara pemakaian K-Pop. Leya dan Jangkho mempunyai persamaan dari segi citarasa dan minat tetapi hubungan mereka terganggu dengan kehadiran Rahmah (Shaza Bae), bekas kekasih Jangkho.

Kehadiran John (Muaz Zabir) dalam hidup Leha pada mulanya dianggap sebagai satu musibah, namun lama kelamaan mereka mula jatuh cinta. Kisah cinta mereka terganggu akibat pelbagai konflik yang dihadapi, tambahan mereka juga turut mempunyai jurang perbezaan umur yang jauh. Berjayakah Leha menamatkan zaman bujangnya? Apakah nasib yang bakal menimpa adik-beradik ini?

Saksikan Leha, Leya Lawa dengan memuat turun aplikasi Tonton melalui Google Play atau App Store, atau layari www.tonton.com.my untuk menikmati pengalaman penstriman premium iaitu strim secara HD di mana ia pasti memberikan keseronokan berganda kepada anda!

Jangan lepaskan peluang untuk saksikan drama terbaharu Leha, Leya Lawa secara eksklusif di Tonton.

 

 

Fatin Nurain