Categories: FeaturedGaya Hidup

Awas dengan sengatan tebuan, ini langkah pencegahan dan perkara yang perlu dilakukan jika disengat

Tanggal 31 Mei lalu negara digemparkan dengan berita tragis kanak-kanak, Nur Nazihah Mohd Sabri yang maut disengat tebuan.

Dalam kejadian pada 29 Mei 2020 itu, Nur Nazihah, 8, bersama adiknya, Muhammad Azib, 6, disengat tebuan ketika bermain bersama seorang lagi kakak mereka berusia 11 tahun, di kawasan semak berhampiran kediaman mereka di Felda Kerteh 4, jam 3 petang.

Mangsa yang disengat kira-kira 65 sengatan disahkan meninggal dunia jam 1.35 pagi Sabtu akibat kegagalan organ dalaman ketika diberi rawatan di Hospital Nur Zahirah (HSN), Kuala Terengganu.

Menurut portal MyHealth, sengatan serangga berbisa lazimnya hanya menyebabkan kesakitan, bengkak dan kemerahan. Namun begitu, ia juga boleh mengakibatkan tindak balas yang lebih serius kepada badan dan fungsi organ akibat berlakunya kejutan anafilaksis. Tindak balas ini boleh membawa maut jika tidak mendapat rawatan segera.

Menerusi perkongsian Pakar Perunding Pediatrik dan Pakar Kanak-kanak, Dr Chin Wai Seong, sengatan tebuan sesuatu yang tidak boleh diabaikan, sama ada mangsa itu orang dewasa mahupun kanak-kanak.

Oleh itu, orang ramai boleh melakukan tindakan kecemasan pertama yang boleh menghalang racun untuk merebak.

Antara langkah yang perlu anda lakukan adalah dengan meletakkan ais atau air sejuk pada bahagian sengatan untuk membekukan tempat sengatan sekali gus menghalang racun untuk merebak dalam tempoh tertentu.

Mangsa juga perlu segera dibawa ke klinik kesihatan berhampiran dalam masa dua jam untuk mengelak racun merebak ke anggota badan dan bercampur dalam darah.

Bagi kes yang lebih serius, langkah rawatan kecemasan pertama di klinik atau hospital adalah dengan menjalani pemeriksaan reaksi dan kesan serius pada alergi. Antara simptom yang diperiksa adalah keadaan mata yang bengkak, demam panas, gatal-gatal dan badan menjadi lemah.

Kredit gambar: Utusan Borneo

Seorang doktor pediatrik di Hospital Muar, Dr Redza Zainol berkongsi analisis data oleh Universiti Melbourne selama 13 tahun yang mendapati satu pertiga kes sengatan serangga beracun yang datang ke hospital adalah disebabkan oleh tebuan dan lebah.

Menurut Dr Redza, tebuan tanah antara jenis tebuan yang sangat bahaya kerana penyengatnya sangat beracun dan jika terkena satu ke dua sengatan boleh menyebabkan kanak-kanak sesak nafas dan amat sakit.

Menerusi perkongsian di Facebook miliknya, Dr Redza berkongsi cara untuk elak kanak-kanak daripada diserang tebuan atau lebah.

1. Jangan minum air tin berperisa manis ketika bermain halaman rumah kerana ia dikatakan boleh menarik perhatian lebah.
2. Tidak digalakkan berjalan tanpa kasut di atas rumput kerana ada tebuan yang membuat sarang di atas tanah.
3. Jangan mengibas baju atau kain untuk menghalang serangan tebuan kerana pergerakan mendadak lebih menarik perhatian tebuan untuk menyerang.
4. Jangan sesekali ganggu habitatnya kerana tebuan biasanya akan menyerang apabila habitat diganggu.
5. Elakkan memakai wangian berbau manis atau memakai baju berwarna terang kerana lebah mudah tertarik pada bau manis.

Kredit gambar: PropertyGuru Malaysia

Antara nasihat lain yang boleh diikuti adalah:

1. Tutup rapat semua tingkap kereta.
2. Kalau diserang, lari secepat mungkin ke tempat perlindungan seperti rumah, bangunan dan kenderaan dengan menutup kepala dengan baju.
3. Ajar anak untuk tengok dulu dalam cawan yang berisi air manis sebelum minum. Lebah yang ada dalam cawan tu boleh tiba-tiba menyengat muka anak kita.
4. Pakai baju berlengan panjang dan seluar panjang di luar rumah.
5. Pakaikan anak dengan topi apabila bermain di luar. Lebah sangat berjaga-jaga dengan haiwan berbulu kerana mereka akan cuba ambil madu. Lebah rasa kurang terancam apabila berdekatan dengan mereka yang memakai topi.
6. Tutup rapat penutup tong sampah di luar rumah.

Semoga bermanfaat!

Ad Ops