Categories: FeaturedOh Lawa

Kimono daripada tali pinggang keledar, bukan saja cantik tapi genius!

Jenama fesyen Biji Biji yang terkenal dengan inisiatif upcycling dengan menggunakan bahan luput, baru-baru ini telah berkolaborasi dengan pereka tempatan, Tsyahmi untuk koleksi kapsul yang menarik sempena Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2019 yang dinamakan sebagai Biji Biji x T Syahmi.

Menggunakan material yang biasa diguna pakai dalam rekaan klasik Biji Biji seperti tali pinggang keledar, ia dizahirkan Tsyahmi ke dalam bentuk siluet persalinan.

Apabila jenama mewah dan pereka avant-garde bergabung, maka terhasillah kimono vintaj buatan tangan serta perusahaan yang mendorong reka bentuk alternatif ke arah lebih berwibawa dalam industri fesyen.

Dihadirkan dalam 12 bentuk rekaan yang cantik, termasuk topi dan beg tangan yang ingin dimiliki setiap penggemar dan pencinta fesyen.

Biji Biji, yang mengetuai inisiatif positif ini, melihat koleksi yang dipersembahkan di KLFW itu sebagai projek perintis mereka untuk membentuk masa depan fesyen yang mapan.

“Koleksi yang dihasilkan ini bertujuan untuk mengubah minda dunia fesyen ke atas bahan yang tidak diingini dengan mempamerkan cara kreatif dan inovatif untuk mempelbagaikannya,” kata Norashahera, selaku pengasas bersama Biji Biji Ethical Fashion Sdn Bhd.

Menampilkan fabrik kimono vintaj yang disediakan oleh rakan kerjasama, Nakakoma Orinomo, koleksi ini dipadankan dengan jalur tali pinggang keledar yang kuat dan kukuh dalam pelbagai warna untuk menghasilkan satu rekaan lain daripada yang lain dalam mencipta fesyen androgynous (sebahagian lelaki dan wanita).

 

“Reka bentuk yang terhasil inspirasi gabungan Pahlawan Nusantara dan Samurai Jepun termasuk Geishas. Kami menggunakan bahan-bahan antik dan alternatif dengan memberi sentuhan baru dalam pemotongan moden dan penggayaan,” tambah Tsyahmi.

Biji Biji adalah satu label fesyen yang berpegang kepada etika menghormati alam sekitar. Jenama ini komited menongkah arus sempadan industri fesyen dengan mengubah penggunaan bahan alternatif kepada norma dalam penghasilan aksesori buatan tangan.

Bahan-bahan yang digunakan juga dipilih dengan teliti daripada pelbagai industri diikuti proses transformasi kepada aksesori fesyen dengan reka bentuk yang cantik, berfungsi dan tidak lapuk dek zaman.

Yanie Baharom