Categories: Filem

Tonton Apa Hari Ni: ‘Dalang’

Permainan dunia bukan semudah yang disangka. Ada golongan kolar putih, kumpulan kolar biru dan satu lagi kategori yang kurang diketahui ramai iaitu si Dalang.

Itulah elemen yang diketengahkan dalam filem terbaharu di Tonton berjudul ‘Dalang.’

Kisah ini menyoroti watak Zain, seorang wartawan bebas, yang telah dimasukkan ke dalam lokap atas kes pergaduhannya di ibu kota. Namun, pada sebelah pagi, dia telah diikat jamin oleh Ayu. Ayu telah mengambil langkah ini atas arahan bosnya iaitu pemimpin berpengaruh yang dikenali sebagai Tok Ikhlas.

Tidak lama kemudian, Zain telah bertemu dengan Tok Ikhlas. Rentetan daripada pertemuan tersebut, Zain telah mendapat maklumat tentang Dato Pin. Menurut Tok Ikhlas, Zain patut mengenali Dato Pin dengan lebih mendalam kerana dia adalah seorang yang dihormati dan disayangi ramai.

Dengan maklumat yang dibekalkan oleh Ikhlas, Zain dan Ayu perlu mencari seorang gadis muda yang bernama Nana. Nana yang dikatakan kini hilang juga dicari oleh Adi, orang kanan Dato Pin yang sering melaksanakan tugasan ‘gelap’ untuk bosnya itu.

Takdir telah membawa mereka bersama. Sedikit demi sedikit, kebenaran mulai disingkap. Siapakah dalang di sebalik semua yang terjadi?

Cerita Apa? ‘Dalang’
Di Mana? Strim eksklusif HD di Tonton

Afiqah Azizan