Categories: Filem

Tonton Apa Hari Ni: ‘Impak Maksima Underground’

Perjalanan untuk mengejar impian bukanlah mudah. Ia penuh onak dan duri. Namun, watak Rudy (Syafi Tee) dalam filem terbaharu Tonton berjudul ‘Impak Maksima Underground’ memperlihat semangat yang kental bagi merealisasikan cita-citanya.

Jejaka berusia 25 tahun itu amat meminati sukan permotoran jenis drift. Dia berhasrat untuk menjadi seorang drifter profesional. Dia sanggup bermula dari bawah sebagai pembantu am kepada Abang Moe di Aylezo Speedzone & Speedway, sebuah trek Go Kart dan akademi sukan permotoran.

Selain menjalankan tugasnya dalam pengurusan premis ini, Rudy juga mengambil peluang untuk memasang telinga apabila kelas drift dijalankan oleh drifter profesional yang dikenali sebagai Abang Johan.

Pengalamannya di sini mematangkan Rudy. Selain menimba ilmu khusus dalam dunia sukan ini, Rudy juga belajar tentang realiti kehidupan iaitu wang ringgit mampu membuka peluang yang luas. Memandangkan sukan drift ini menelan perbelanjaan yang banyak, maka tidak hairanlah bahawa ramai dalam kalangan yang terlibat dalam sukan ini datang daripada golongan berada.

Namun, pertubuhan lumba kereta rahsia yang dinamakan Impak Maksima Underground membawa kelainan yang tersendiri. Wang dan kekayaan tidak menjamin undangan ke perlumbaan kereta anjuran pertubuhan ini.

Sebaliknya, kredibiliti pemandu menjadi keutamaan. Hal ini mengukuhkan reputasi pemenang perlumbaan ini dan mereka disegani di seluruh negara.

Adakah Rudy mampu mengatasi seribu satu macam cabaran yang menantinya demi menggapai impiannya itu?

Cerita Apa? ‘Impak Maksima’
Di Mana? Strim eksklusif HD di Tonton

Afiqah Azizan