13 Tahun Mendirikan Rumah Tangga, Aziz M. Osman Kini Sah Bercerai

Pengarah filem epik popular XX Ray iaitu Aziz M.Osman kini sah bercerai.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh bekas isterinya, Puteri Lily Lokman menerusi hantaran di Instagram Story (IGS) miliknya pada Ahad.

Menurutnya, pendedahan dibuat bagi mengelakkan timbulnya fitnah pada masa akan datang.

“Sejak kebelakangan ini, ramai yang bertanya status hubungan saya dan Aziz.

“Demi mengelakkan fitnah pada masa hadapan, saya dengan rasa rendah diri ingin menyampaikan berita saya dan Aziz sudah berpisah,” tulisnya.

Mengulas lanjut, Puteri Lily menjelaskan, perpisahan yang berlaku tidak ada kaitan dengan kewujudan orang ketiga dalam rumah tangga mereka.

“Secara rasminya, saya dan Aziz berpisah dengan cara baik awal bulan lalu dan tiada kaitan orang ketiga.

“Ditakdirkan jodoh kami sampai di sini, tetapi kami masih mempunyai hubungan baik demi anak-anak,” katanya.

Bagaimanapun, menerusi pemerhatian XTRA, hantaran tersebut telahpun dipadam selang beberapa minit ia dimuat naik.

Dalam pada itu, Puteri Lily berkongsi anak sulungnya, Puteri Nur Azzahra, 11,  menerima keputusan perpisahan dengan tenang sekaligus memohon doa warganet agar anak-anaknya terus kuat dengan dugaan yang menimpa keluarga mereka.

“Doakan anak-anak saya kuat emosi dan mental. Doakan urusan kami dipermudahkan. I’m trying my best,” luahnya.

Sekadar info, Puteri Lily dan Aziz mendirikan rumah tangga pada 6 Jun 2010 dan dikurniakan dua cahaya mata, Puteri Nur Azzahra, 11, dan Putera Muhamad Aryan, 5.

Terdahulu, pengarah ini pernah berkahwin dengan pelakon jelita, Nor Aliah Lee dan memiliki enam cahaya mata.

Aziz kemudian berkahwin dengan Puteri Lily pada 6 Jun 2010.

 

Sumber : Berita Harian

Salma Syahbuddin