16 Tahun Kembali Pada Fitrah, Adam Corrie Mengaku Tak Rindu Nak Makan Daging B*bi

Pelakon Adam Corrie terkilan dengan tindakan segelintir pihak yang menuduhnya rindu untuk memakan daging babi selepas berkongsi sebuah video makan di Instagram miliknya sebelum ini.

Menurut Adam, sebagai seorang muslim yang telah kembali kepada fitrah selama 16 tahun, dia tidak pernah berasa rindu untuk makan perkara yang haram.

“Ada komen-komen di page saya kata,  saya rindu nak makan babi. Sebab tu saya sanggup makan Mee Wantan ayam bbq merah serupa babi. Dan ada juga yang kata saya memang makan babi bukan ayam bbq.

“Saya sebagai seorang Muslim yang telah kembali fitrah selama 16tahun, tak rasa rindu pun nak makan perkara yang haram,” katanya.

 

Terkejut dan pelik dengan tuduhan tersebut, dia bagaimanapun enggan mengambil pusing terhadap niat sebenar individu berkenaan.

“Saya tak pasti niat mereka berkata begitu.. sama ada saya nak provok atau sebaliknya.

“Sebelum saya syahadah, saya bukanlah pengemar makan daging babi. Ramai je non-muslim yang memang tak makan daging tersebut. Mereka pun ada alasan sendiri kenapa tak makan. Sama ada mereka vegan dan sebagainya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Adam menegaskan, sebagai seorang muslim dia faham mengenai bab halal dan haram.

Malah, dia juga menjelaskan, setiap manusia mempunyai kisah tersendiri, bahkan adalah tidak baik untuk terus menjatuhkan hukum kepada mana-mana individu tanpa usul periksa.

“Selepas syahadah, saya faham tentang halal haram. Yang haramnya sikit, yang halalnya banyak.

“Rezeki Allah SWT bagi banyak, carilah yang halal.. jika ada yang kata, dulu saya makan makanan haram bertan-tan.. maka itu saya sebelum syahadah.

“Setiap orang ada kisahnya tersendiri.. setiap pengalaman mengajar kita menjadi insan yang lebih baik,” ujarnya.

Terdahulu, isu ini timbul selepas aktor filem KL Gangster itu berkongsi video makan mi wantan di Instagram miliknya.

 

Salma Syahbuddin