4 Tahun Menjanda, Hidayah Belum Terbuka Hati Nak Kahwin Lain – “Yang Mengusik-Usik Itu Ramai Tapi…”

Balu kepada pelawak Allahyarham Abam Bocey iaitu Siti Nurhidayah Mohd Ali atau lebih mesra dipanggil Hidayah mengaku, dia belum bersedia untuk mencari pengganti suaminya setakat ini.

Menurutnya, dia kini sedang sibuk menguruskan anak tunggalnya, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey, 4, dan dua perniagaan yang dijalankannya sehingga tidak terfikir untuk mencari pengganti arwah.

“Sekarang saya memang busy sebab dah ada dua bisnes. Satu kedai makan dengan satu lagi produk kecantikan.

“Hamzah sekarang dah empat tahun dah sekolah dah. Bila kita tanya ayah mana? Dia akan cakap ayah dia dekat syurga.Dan saya memang 100 peratus dengan dia sebab kedai memang ada orang yang jaga dan saya memang lebihkan masa dekat rumah sahaja,” katanya.

Selain itu, Hidayah berkongsi,  sejak pemergian suami tercinta selain keluarga, netizen antara yang paling banyak memberikan sokongan terhadap perniagaan dan juga kehidupannya.

“Untuk jadi kuat itu keluarga saya memang sangat membantu, support saya dari segi persekolahan apa semua. Begitu juga dengan netizen yang sentiasa bagi semangat jadi saya secara tak langsung kuat dan bersemangat untuk teruskan kehidupan saya walaupun tanpa arwah suami.

“Dan saya akan teruskan kehidupan sebab anak pun masih kecil lagi dan perlukan seorang ibu begitu juga ayah,” jelasnya.

Meskipun kini terpaksa  memikul peranan sebagai seorang ayah, Hidayah menegaskan, ia bukanlah sesuatu perkara yang mudah.

Malah, soal jodoh terpaksa diketepikan dek kerana target dan impiannya kini adalah untuk membesarkan anak lelakinya.

“Sebenarnya kalau ada jodoh untuk saya, saya akan terima sahaja. Tapi buat masa sekarang memang nak besarkan anak dulu. Kalau Hamzah pun dah besar saya terima je jodoh siapa-siapa.

“Tapi setakat ini belum lagi terbuka hati untuk ssesiapa. Tapi yang mengusik-usik tu memang ramai lah tapi untuk saya terbuka hati tu, jawapannya tidak,” ujarnya.

Sekadar info, Hidayah dan Abam mendirikan rumah tangga pada 8 Disember 2017. Hasil perkahwinan, pasangan ini dikurniakan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey yang kini berusia empat tahun.

 

Sumber: mStar

Salma Syahbuddin