Categories: Fab Foodies!

Dapat Saranan ‘Michelin Guide Hong Kong’, Kedai Manisan Popular Kwan Kee Kini Di Malaysia!

Kedai manisan popular dari Hong Kong, Kwan Kee telah dibuka secara rasminya awal November lalu di Jalan SS2/67, Petaling Jaya, Selangor.

Merupakan kedai yang pertama di luar Hong Kong, Kwan Kee mula beroperasi pada tahun 1965 sebagai kedai manisan yang diusahakan oleh Fu Kwan.

Masih menggunakan kaedah tradisional untuk mengisar tepung beras, Fu Wing Cheung merupakan generasi kedua pemilik Kwan Kee.

Hasil usaha yang dilakukan mereka, Kwan Kee kini diiktiraf antara kafe jalanan yang disarankan oleh ‘Michelin Guide Hong Kong’ selama enam tahun berturut-turut dari tahun 2016 sehingga 2021.

Antara manisan yang laris terjual adalah kek rice bowl, kek bijan kukus, kek span gula putih dan kek kacang merah kukus. Pastinya setiap manisan yang disediakan dibuat setiap hari menggunakan mesin pengisar tepung tradisional.

Berikutan kesihatan yang tidak baik pada Fu Wing Cheung dan anaknya yang tidak mahu meneruskan perniagaan keluarga, jenama yang sudah melangkaui usia lebih setengah abad ini kini diambil alih oleh Sundy Chim, seorang perantis yang dipercayai oleh Fu Wing Cheung.

Menurut Sundy Chim, walaupun sudah bertukar milik, Kwan Kee masih meneruskan tradisi yang telah diusahakan oleh Fu Wing Cheung.

“Setiap kuih dan manisan dibuat setiap hari untuk menjamin kesedapan dan kesegaran. Tepung beras dikisar setiap hari untuk membuat manisan tanpa menggunakan tepung beras yang dibeli dari kedai dan menggunakan mesin pengisar tepung tradisional.

“Selain itu kami juga masih mengekalkan resipi yang sama. Untuk cawangan di Malaysia, kami memperkenalkan manisan istimewa iaitu Kek Beras Durian yang menggunakan durian Musang King. Kami memilih Malaysia kerana rakyat Malaysia yang gemar menikmati makanan yang enak sehingga digelar sebagai foodie destination.

“Selain itu kepelbagaian jenis makanan boleh didapati di Malaysia antara penyebab kami membuka cawangan pertama kami di Malaysia,” katanya.

Kafe Kwan Kee di Malaysia kini dalam proses untuk mendapat sijil pegiktirafan HALAL dari JAKIM dan buat masa ini kesemua bahan yang digunakan dibeli dari pembekal yang HALAL untuk memastikan semua kaum di Malaysia dapat merasai keenakkan manisan dan kuih dari Kwan Kee.

Padin