Categories: HiburanTrending

6 Bulan Terbaring, Tak Boleh Makan, Muntah & Ulang Alik Hospital… Yana Samsudin Dedah Kehamilan Anak Ketiga Lebih Mencabar

Pelakon Yana Samsudin tidak sabar menantikan kelahiran cahaya mata ketiganya yang dijangkakan pada Februari tahun hadapan.

Menurut temu bual mStar dengan pemilik nama sebenar Norliana Samsudin itu, sepanjang mengandungkan anak ketiga ini, dia mengalami alahan agak teruk berbanding kehamilan sebelum ini.

Yana mendedahkan sepanjang enam bulan pertama kehamilan, dia tidak larat untuk melakukan apa-apa kerja dan hanya terbaring sahaja.

“Anak ketiga ni lain betul. Saya kerap muntah, tak boleh makan, tak boleh minum, tak boleh buat kerja langsung.

“Saya pun kerap masuk hospital lebih tiga kali. Tiap-tiap minggu drip air dan vitamin untuk sihatkan badan,” katanya.

Akui perbezaan pengalaman mengandung bagi anak pertama dan kedua, kali ini lebih mencabar buat pemenang trofi Pelakon Filem Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 itu.

Dia menarik nafas lega dan bersyukur kerana kerja-kerja rumah diuruskan oleh suaminya, Fadzil Zahari yang memahami keadaan dirinya.

Menyorot kembali detik-detik kehamilan anak pertama, Yana berasa senang dan terkejut kerana dia tidak berasa sakit dan terbeban.

Selain boleh makan apa sahaja yang diinginkan tanpa berpantang, dia juga dapat melancong ke Singapura.

“Saya tak tahu pun saya pregnant waktu tu. Waktu melahirkan juga senang, tak rasa sakit sikit pun.

“Anak kedua pula, mula rasa sakit sikit. Tapi pagi saja, malam tak sakit. Jadi malam saya main game memandangkan waktu tu musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tidak boleh keluar ke mana-mana. Tiada alahan pelik-pelik,” ujarnya.

Menurut heroin filem Strawberry Cinta itu, faktor usia menjadi salah satu sebab kesihatannya lebih terjejas sepanjang kehamilan berbanding dahulu.

Dalam pada itu, meskipun dalam keadaan sarat mengandung, dia masih lagi menerima undangan untuk berlakon kerana ramai pihak yang tidak tahu berita kehamilannya.

Memikirkan kemampuan diri dan kesihatan yang perlu diutamakan, dia terpaksa menolak dengan cara yang baik.

Sumber : mStar

Syamir Shafie