Achey Masuk Hospital Gara-Gara Sakit Belakang Berpanjangan

Pelawak Achey Bocey telah dimasukkan ke hospital sejak Selasa lalu, selepas mengalami sakit belakang yang berpanjangan.

Perkara tersebut telah dimaklumkan oleh Achey menerusi sebuah perkongsian di Instagram, sekali gus menyebabkan dirinya tidak dapat menghadiri majlis sidang media Konsert Muzika Lawak Nusantara, semalam.

Menurut Fad yang merupakan rakan sekumpulannya, Achey kini sedang menjalani rawatan di sebuah pusat perubatan di Batu Pahat, Johor.

Fad juga menyatakan bahawa rakannya itu sempat bertanyakan tentang simptom slip disc yang pernah dialaminya sebelum mengambil keputusan untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut.

“Dia selalu sakit belakang. Lepas tu dia tanya saya apa simpton slip disc tapi saya suruh dia pergi check. Bila dia pergi check dia macam ada benjolan dekat tulang belakang dia tapi tak serius.

“Cuma, saya suruh dia buat MRI (Pengimejan Resonans Magnet). Insya-Allah lagi berapa hari dia okay kot. Sebarang rawatan lanjut masih belum diputuskan lagi

“Saya pun belum dapat bercakap lanjut dengannya selepas melakukan MRI. Sebab tu kalau ada kawan-kawan yang sakit belakang saya suruh pergi check sebab kita tak nampak bila dah buat MRI baru tahu,” katanya.

Dalam pada itu, Fad juga sempat berkongsi keadaan terkininya selepas menjalani pembedahan slip disc pada tahun lalu.

“Alhamdulillah, sekarang saya pun dah okay. Cuma, side effect dia tu adalah kalau duduk dan berjalan lama ada rasa lenguh. Tapi saya masih boleh bermain bola cuma tak boleh jatuh sahaja doktor punya pantang,” jelasnya.

Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Fad ketika ditemui di sidang media Konsert Muzika Lawak Nusantara yang bakal menggabungkan pelawak dari Malaysia dan Indonesia di atas satu pentas, pada 19 Ogos ini.

Selain kumpulan Bocey, konsert yang akan berlangsung dia Stadium Malawati, Shah Alam itu juga akan dibintangi oleh Sharif, Melati dan Atu (Zero) dan tiga pelawak Indonesia iaitu Sule, Azis Gagap dan Rina Nose.

Fatin Nurain