Sukar Untuk Dimaafkan, Elyana Dedah Ada Individu Berbuat Jahat Pada Anak Angkat – “Hancur Hati Saya…”

Penyanyi Elyana meluahkan rasa terkilan apabila anak keduanya, Cahaya Ramadhani terpaksa berdepan dengan perbuatan tidak baik segelintir pihak.

Menerusi perkongsiannya di Instagram, dia mengenali individu tersebut serta tidak akan memaafkannya terhadap perbuatan yang dilakukan.

Tidak menjelaskan secara terperinci apa yang berlaku kepada Cahaya atau Caca, Elyana berharap individu itu berubah menjadi manusia yang lebih baik.

“Anak perempuanku Cahaya Ramadhani. Ramai yang tanya Caca anak siapa? Cahaya Ramadhani adalah anak kesayangan saya walaupun bukan dari rahim saya.

“Saya sedaya upaya menyayangi serta menjaga dia dengan kemampuan saya dari usia Caca 6 hari.

“Jadi, kepada pihak-pihak yang selama ini jahat kepada anak ini, susah sekali saya memaafkan anda. Terlalu hancur hati saya dengan perbuatan anda.

“Saya berdoa semoga suatu hari nanti anda menjadi manusia yang lebih me manusiakan manusia lain. Anda tau siapa anda,” ujarnya.

Untuk rekod, Elyana dan suami, Khairul Anuar Husin mendirikan rumah tangga pada 2010 dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Cinta Sumayah, 13 tahun.

Selain Cahaya, Elyana dan Khairul turut mengambil seorang lagi anak angkat istimewa yang diberi nama Tulus.

Maya Basir