‘Ada Manis Menunggu Di Hadapan’- Rita Rudaini Bersyukur Kerana ‘Dipilih’

Umum tahu, pelakon Rita Rudaini sudah beberapa tahun memegang status ibu tunggal kepada dua anak lelaki.

Ketabahan Rita membesarkan dua anaknya tanpa bantuan lelaki bergelar suami ternyata membuatkan ramai peminatnya kagum. Bukan mudah untuk membesarkan anak-anak seorang diri, kan?

Bagi pelakon berusia 43 tahun ini, dia bersyukur dan reda kerana dipilih melalui ujian sebegini.

“ Rasa bertuah dipilih untuk membesarkan anak-anak seorang tanpa bantuan sesiapa. Ada yang bercerai tetapi anak-anak  masih dibiaya bapa, duit sekolah, perayaan, tempat perlindungan dan segala perbelanjaan sehingga dewasa. Beruntungnya mereka, Alhamdulillah,” tulisnya.

Tambah Rita, dia tidak sesekali berkira dengan anak-anak yang lahir dari darah daging sendiri.

“ Saya percaya ada kejayaan dan manis menunggu di depan. Biarlah kami tak mewah tapi hati kami bahagia. Saya tak rasa susah mencari rezeki seorang diri.

“ Bila dapat menyuap rezeki yang saya cari ke mulut anak-anak, saya bahagia. Hilang penat lelah…saya rasa ibu tunggal diluar sana pun merasa benda yang sama macam saya,” tulisnya.

Sementara itu, Rita tidak terlalu memikirkan soal jodoh memandangkan keutamaannya adalah terhadap anak-anaknya yang kini sedang meningkat dewasa.

“ Bahagian saya sudah lepas. Masa depan untuk diri saya sudah lepas. Masa depan saya cuma mereka, Ryan dan Arjuna,” akhirinya yang mengucapkan Selamat Hari Bapa untuk ibu-ibu tunggal sepertinya di luar sana.

Pelakon Rita Rudaini pernah berkahwin dengan pemain bola, Aidil Zafuan pada tahun 2008 dan bercerai pada 2013. Mereka dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin, 10 dan Airit Qaqa Arjuna, 8.

 

SGMS Faida