“Ada Yang Akan Pantau Saya” – Selepas Dikejarkan Ke Hospital Ogos Lalu, Ako Mustapha Kongsi Keadaan Terkini

Pelakon dan penerbit, Ako Mustapha berkongsi keadaan terkini kesihatannya selepas dikejarkan ke hospital kerana kekurangan insulin dalam badan pada Ogos lalu.

Menghidap penyakit diabetis sejak 2016, Ako mendapatkan rawatan kerana saraf serta otot tidak dapat berfungsi sehingga menyebabkan wajahnya menjadi herot.

Menurut Ako, keadaan kesihatannya kini semakin pulih dan berat badannya telah bertambah.

“Saya kena jaga pemakanan dan terpaksa ambil insulin. Saya kena inject diri saya sendiri minimum empat kali sehari kerana insulin dalam badan saya tiada,” jelas Ako yang menjelaskan soal rutin rawatan hariannya.

Ako juga mengakui biarpun sudah tiga bulan mengambil insulin secara sendiri, namun dirinya tetap ngeri untuk melakukan suntikan tersebut.

“Rasa ngeri cucuk sendiri insulin. Jika tidak mengambilnya, berkemungkinan saya boleh pengsan dan mungkin sesuatu perkara yang buruk boleh terjadi kepada kesihatan saya.

“Saya kena control pengambilan karbohidrat, tapi sebelum makan perlu inject. Pola makanan harian saya juga sedikit terikat bagi menjaga kesihatan,” ujarnya lagi ketika ditemui pada sidang media Konsert Kolaboraci Indonesia-Malaysia-Singapore pada Rabu.

Ako juga sempat memberitahu masalah kesihatannya ini tidak menjadi penghalang untuk dirinya bergiat aktif di dalam industri malah dirinya masih mendapat tawaran untuk berlakon.

Namun, buat masa ini Ako lebih aktif dan fokus bekerja di belakang tabir sebagai seorang produser.

 

 

 

 

Halimey Zamal