Uri Masih Di Bawah Rahim, Aliff Syukri Bimbang Keadaan Isteri – “Apa Patut Saya Buat Untuk Baby & Isteri Selamat?”

Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri sebelum ini berhadapan detik cemas apabila isterinya yang hamil mengalami pendarahan dan terpaksa dikejarkan ke hospital.

Terbaharu, Aliff Syukri memuat naik satu hantaran di laman Instagram dengan meluahkan rasa bimbang dengan keadaan Datin Seri Shahida yang masih belum pulih kerana masalah Plasenta Previa atau kedudukan uri di bawah rahim.

Menerusi hantaran tersebut, Aliff memuat naik tangkap layar perbualan mesej dengan isterinya yang mengatakan darah masih berada dalam rahim biarpun dinasihatkan untuk berehat.

“Jujurnya saya tidak ada pengalaman placenta atau rahim ke bawah untuk anak-anak saya sebelum ini.

“Pendarahan dah berkali-kali berlaku dan doktor nasihat jangan berjalan langsung. Padahal wife saya jalan pun guna kerusi roda kemana sahaja,” kongsinya.

Dalam pada itu, Aliff juga memohon bantuan daripada warganet untuk berkongsi pengalaman jika berhadapan dengan keadaan tersebut untuk pastikan isteri dan bayi selamat.

“Siapa ada pengalaman macam ni..Dan apa patut saya buat untuk baby dan wife saya selamat?,” tulis Aliff di ruangan kapsyen.

Terdahulu, Shahida mendedahkan dirinya sedang hamil anak keenam.

Aliff dan Shahida mendirikan rumah tangga pada Ogos 2007. Pasangan itu dikurniakan lima cahaya mata iaitu Ammar Ahyan, Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham, Yusoff Al Qardawi dan Raudah Arshiyah selain turut menjaga seorang anak angkat bernama Ameena.

Tinjauan XTRA di ruangan komen perkongsian tersebut mendapati rata-rata warganet turut berkongsi pengalaman dan tips sekiranya mengalami masalah tersebut kepada pasangan usahawan ini malah turut mendoakan agar Shahida dan bayi dalam kandungan dalam keadaan baik.

Khairil Khusyairi