Categories: HiburanTrending

Sering Jayakan Watak Romantik, Impian MK K-Clique Bawa Karakter Jahat Tercapai

Impian penyanyi dan pelakon MK K-Clique untuk melakonkan watak jahat tercapai selepas menerima tawaran untuk menjayakan karakter Bono dalam filem Rebel: Berontak Untuk Berotak.

Sering membawa watak hero romantik dalam drama bertemakan cinta, MK memang mengidamkan watak jahat (antagonis) dalam filem genre aksi sekali gus mencabar kemampuannya dalam bidang lakonan.

“Bila ditawarkan watak Bono, saya sangat bersyukur kerana dapat bekerja dalam filem sulung, Datuk Awie dan mencabar diri melakonkan watak jahat dalam filem.

“Saya tidak takut dibenci penonton kerana melakonkan watak jahat kerana ia sekadar lakonan.

“Watak Bono menjadi penjahat kerana dia tinggal di kawasan setinggan dan terdedah dengan persekitaran yang kurang baik,” katanya.

Mengenai persediaan pula, kata MK, dia banyak membuat rujukan dengan menonton filem genre aksi dari dalam dan luar negara.

“Selaku pengarah, Awie juga banyak memberi bimbingan bagaimana untuk menjiwai watak Bono dalam filem itu.

“Saya terima tawaran pun kerana mahu bekerja dengan Awie kerana dia juga sama seperti saya dari penyanyi menjadi pelakon dan kini pengarah,” katanya.

Berkongsi pengalaman bekerja dengan Awie, kata MK, pada mulanya, dia berasa takut dan gementar untuk bekerjasama dengan vokalis kumpulan rock legenda Wings itu.

“Sebagai pelakon baharu, saya tidak tahu karakter Awie di lokasi. Namun, saya tidak sangka, Awie seorang yang sangat baik, berhemah tinggi dan sangat professional ketika bekerja.

“Kalau kita buat sesuatu yang tak kena pun dia akan datang dan tegur dengan cara yang lembut dan sangat berhemah.

“Kalau penggambaran bermula lambat, Awie sendiri akan datang berjumpa pelakon dan kru untuk mohon maaf dan pastikan keadaan semua orang okay di lokasi,” katanya.

Ditanya babak paling mencabar pula, kata MK, ia membabitkan babak pergaduhan dalam filem itu.

“Saya banyak babak dengan watak utama Luka (lakonan Ben Ali) dalam filem ‘action pack’ ini..“Paling mencabar untuk buat babak pergaduhan yang berlangsung dari jam 8 malam hingga 6 pagi.

“Saya tidak mengalami kecederaan kerana produksi sangat menjaga aspek keselamatan dengan menyediakan pelakon lagak ngeri untuk babak yang bahaya.

“Sebelum penggambaran, kami juga giat berlatih dengan bantuan koreografer disediakan produksi di lokasi. Setakat sakit-sakit badan tu perkara biasalah dalam filem aksi,” katanya.

Filem Rebel: Berontak Untuk Berotak diterbitkan Wau Productions Sdn Bhd dan Rumah Produksi Merah Sdn Bhd dengan kos pembikinan mencecah hampir RM1 juta.

Selain Ben dan MK K-Clique, filem arahan sulung Awie itu turut dibintangi Shiqin Kamal, Noralbaniah, Azlan Komeng dan Awie sendiri.

Ia mula menemui penonton di pawagam di seluruh negara bermula 2 Mei lalu.

Padin