Categories: Hiburan

Susulan Podcast Bersama Rosyam Nor Sukses Raih Perhatian, Kini Usanita Jalin Kerjasama Dengan Awal Ashaari

Pengacara terkenal Awal Ashaari bakal muncul dengan sebuah program bual bicara bersama Usanita pada tahun ini.

Program itu bakal dijayakan susulan podcast Hitam Putih di saluran YouTube yang sukses meraih perhatian penonton terutamanya warganet.

Podcast terbabit dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Usanita, Datuk Adzliana Hasan bersama aktor terkemuka, Datuk Rosyam Nor.

Menurut Awal, Usanita sentiasa memberikan fokus dalam memperkuatkan kandungan terbaik di platform media sosial dalam berkongsi kisah yang memberi manfaat serta menaikkan semangat orang ramai.

“Antara program terbaharu yang dirancang adalah sebuah program bual bicara yang dikendalikan oleh saya dan Adzliana sebagai hos.

“Berkonsep segar dan menampilkan sesuatu yang berbeza, program yang akan ditayangkan selama 15 episod ini akan menampilkan beberapa selebriti tempatan. Kami akan menjemput mereka yang berjaya dalam bidang masing-masing untuk berkongsi pengalaman jatuh bangun dalam mencapai sukses dalam apa yang mereka kerjakan.

“Saya percaya program baru ini memberi nafas baharu dan pilihan yang sedikit berbeza kepada penonton. Kita mahu sajikan sesuatu yang lebih segar dan bersifat santai kepada penonton selain boleh memberikan inspirasi kepada mereka yang melihatnya,” kata bekas pengacara Melodi ini.

Sementara itu, Adzliana berkata, pihaknya yakin kerjasama bersama Awal akan memberi perspektif baharu kepada Usanita dengan cadangan dan pandangan yang akan diberikan.

“Peranan Awal bukan saja sebagai hos dan wajah Usanita, tetapi Awal akan membantu Usanita dalam memberikan pelbagai tips dan perkongsian mengenai penjenamaan, penjagaan diri sebagai usahawan dan cara untuk tampil berkeyakinan bersama Perintis Usanita secara maya dan juga secara bersemuka pada tahun ini.

“Sejajar dengan matlamat Usanita untuk menawan media sosial pada tahun ini, Usanita bukan sahaja melahirkan program sendiri namun sentiasa bekerjasama dengan pencipta kandungan media sosial yang lain.

“Selain bakal tampil bersama Awal, Usanita akan bekerjasama dengan sebuah rancangan podcast yang sedang meningkat naik iaitu Apa Cerita? yang dikendalikan oleh Asyraf Khalid dan Ishraq Kamarudin yang mana selama 10 episod istimewa ini akan memaparkan sesuatu yang istimewa dengan suntikan penjenamaan Usanita,” katanya.

Awal ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Usanita dan pelantikan Awal sebagai wajah Usanita di EQ Hotel, Kuala Lumpur pada Khamis.

Acara itu turut dimeriahkan oleh kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan-rakan usahawan serta selebriti seperti Datuk Rosyam Nor, Erma Fatima, Zoey Rahman, Misha Omar dan Hael Husaini.

Dalam pada itu, Usanita yang sudah empat tahun dibangunkan sebagai satu entiti pemudah cara bagi golongan usahawan terutama dalam kalangan B40 yang perlu dibantu bakal bekerjasama dengan pihak kerajaan di Indonesia untuk menjalankan program mega iaitu ‘Bridge to Brilliance’ tahun ini.

Padin