Adam Corrie Perjelas Dah Tak Mengajar Wanita Menari – “Pendapatan Lumayan Tapi Keberkatan Yang Saya Cari”

Pelakon Adam Corrie menjelaskan dia kini tidak lagi berkhidmat sebagai penari dan juru tari biarpun pendapatan kerjaya itu sangat lumayan.

Menerusi perkongsian di Instagram (IG), Adam berkongsi kisah dia meninggalkan karier tersebut selepas memilih untuk memeluk Islam.

“Dulu saya dapat satu tawaran untuk buat persembahan dan saya tanya pelanggan persembahan apa dan dia kata tarian tiang serta minta saya sediakan penari perempuan sahaja.

“Tawarannya sangat lumayan, ketika itu saya dah masuk Islam dan saya rasa was-was dan rujuk ustaz dan ustaz kata kalau boleh elakkan sebab tak berkat.

“Jadi saya hubungi semula pelanggan saya dan beritahu saya tolak persembahan itu dan sudah tidak lagi buat persembahan selamanya. Saya pun dah tak mengajar orang menari lagi ketika itu,” kongsi Adam.

Tambah pelakon filem KL Gangster itu, dia hanya mencari keberkatan dalam mencari rezeki selepas membuat keputusan tersebut.

“Alhamdulillah, ustaz dah bagi keterangan. Saya berhenti untuk mengajar.

“Sampai sekarang dan sejak daripada itu saya buat keputusan untuk berhenti buat persembahan. Saya teruskan berlakon sampai sekarang. Itulah berkatnya.

“Pendapatan lumayan tapi keberkatan yang saya cari selepas kembali kepada fitrah (memeluk agama Islam),” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial sebuah video yang memaparkan Adam menjadi penari ketika persembahan Ziana Zain di Anugerah Juara Lagu 1992.

Untuk info, Adam memeluk agama Islam pada 13 Julai 2007 sebelum mendirikan rumah tangga dengan isterinya, Fazima Mohd Fuad pada 21 November 2008.

Khairil Khusyairi