Categories: Hiburan

Adam Lee, Sweet Qismina Saling Mempercayai… Tidak Risau Diganggu Penyondol

Pelakon terkenal, Sweet Qismina tidak risau dengan isu curang dalam rumah tangga yang sering menjadi topik perbualan hangat netizen, baru-baru ini.

Sebaliknya, Sweet amat mempercayai suaminya, aktor Adam Lee sejak sebelum bercinta lagi.

“Saya dah tahu karakter Adam dekat set pengambaraan. Dia seorang yang sangat fokus dengan kerja.

“Dia dalam dunianya sendiri, pekerjaannya. Bila dapat skrip, dia akan menelaah, sama juga dengan saya,” jelasnya.

Tambah Sweet, kepercayaan merupakan kunci utama yang mengukuhkan hubungan mereka berdua dan sebagai suami isteri, masing-masing sepatutnya sudah tahu batas ketika bekerja.

Bagi Adam pula, dia merupakan seorang yang sangat jujur.

“Saya akan memberitahu Sweet segala rutin dan perkara yang terjadi di set pengambaraan. Saya cuba menjaga keluarga saya sebaik mungkin,” kata Adam kepada XTRA.

Bahkan, mereka turut berkongsi pengurus yang sama iaitu ibu Sweet sendiri.

Untungnya, segala perkara pasti akan sampai ke pengetahuan mereka berdua juga.

“Oleh sebab pengurus kami sama, jadi kalau Adam buat hal, mesti saya akan tahu. Begitu juga sebaliknya. Jadi takkan timbul apa-apa isu pun,” kata Sweet lagi.

Adam dan Sweet ditemui di majlis pelancaran drama lakonan mereka, Cik Misi 123 di Publika, pada Rabu.

Naskhah terbabit turut dibintangi oleh Bella Dally, Hafreez Adam, Faizdickie, Safwan Nazri dan ramai lagi.

Syamir Shafie