‘Adat Program Realiti, Tekanan Mesti Ada’– Mas Idayu

Rancangan realiti D Academy Asia 4 menyaksikan peserta pertama dari Malaysia, Fauziah Gambus tersingkir, baru-baru ini.

Dalam pada itu, salah seorang juri profesional yang mewakili Malaysia iaitu penyanyi Mas Idayu memaklumkan lima lagi peserta yang tinggal dalam DAA 4 harus kuat berdepan dengan tekanan.

 “ Mummy faham, pemilihan lagu yang diberikan kepada mereka kebanyakannya lagu-lagu dangdut yang tidak pernah kita dengar atau nyanyikan. Adat program realiti, tekanan mesti ada.

“ Mereka harus faham DAA sebuah program yang segalanya tentang dangdut. Ketika persembahan, tiada masalah bagi peserta tampil kelainan dengan menyelitkan genre lain cuma elemen dangdut itu perlu kedengaran,” katanya kepada xtra.com.

Dalam pada itu, Mummy turut memuji dua peserta DAA 4 dari Malaysia yang menunjukkan peningkatan baik.

“ Sarah Fazny dan Zamry Zam antara peserta yang Mummy nampak ada perubahan positif. Harapan Mummy mereka kekal konsisten untuk minggu seterusnya.

“ Seperti tahun sebelum ini, peserta dari Malaysia selalu bertahan hingga ke minggu-minggu terakhir sekaligus bersaing dengan peserta dari Indonesia. Mummy harap wakil dari negara berjaya melunaskan tanggungjawab mereka sebaiknya,” akhirinya.

Mas Idayu juga merupakan juri tetap bagi program Mentor 7 yang bersiaran langsung setiap Ahad jam 9 malam di TV3.

 

SGMS Faida