Adira Suhaimi & Madu Fail Cerai Serentak, Datuk Red Bertegas Pertahankan Kedua-Dua Rumah Tangga – “Kebetulan, Bukan Sepakat”

Umum mengetahui, penyanyi, Adira Suhaimi dan madunya, Datin Seri Sharifah Norshafika masing-masing memfailkan penceraian terhadap suami mereka, Datuk Seri Adnan atau lebih mesra disapa Datuk Red.

Memetik laporan OhBulan!, Datuk Red berkata penceraian yang difailkan oleh isteri pertama dan isteri keduanya itu hanya kebetulan bukan satu pakatan.

Tidak menafikan dia boleh mencari pengganti, namun Datuk Red menyayangi rumah tangga yang telah terbina bersama kedua-dua isterinya sehingga mempunyai ramai anak.

“Untuk keputusan ini (cerai) mereka tidak ada pakatan. Cuma kebetulan. Masing-masing ada hak sendiri dan itu permohonan mereka sendiri. Jadi saya tetap mahu mencuba mempertahankan.

“Lepas ini, saya nak ke Kuala Selangor pula. Mungkin orang lihat saya luaran masih boleh gelak ketawa tapi dalaman lelaki ini jenis lemah tapi tak nampak.

“Bayangkan tiba-tiba ada dua tapi boleh hilang dengan sekelip mata. Kalau kenangkan dulu, mungkin boleh cari perempuan lain tapi sekarang tidak, lebih-lebih lagi anak pun sudah ramai.

“Jadi saya mahu pertahankan apa yang ada.Saya juga manusia, lalai dan saya asyik minta maaf banyak kali tapi benda tetap berulang lagi (perpisahan). Biasalah dalam rumah tangga banyak berlaku perselisihan faham,” katanya.

Kes penceraian Adira dan Datuk Red dilanjutkan pada 24 April depan selepas gagal menemui jalan penyelesaian dalam prosiding keputusan laporan Jawatankuasa Pendamai (JPK) di Mahkamah Rendah Syariah sebentar tadi.

Terdahulu, Muhammad Akmal Azman selaku peguam mewakili Datuk Red memaklumkan anak guamnya turut berdepan dengan permohonan perceraian yang difailkan Datin Red di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kuala Selangor pada 18 Mac.

Adira memfailkan penceraian pada 25 Oktober tahun lalu kerana tiada persefahaman.

Sekadar info, Adira dan Datuk Red mendirikan rumah tangga di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.

Hasil perkongsian hidup bersama mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4 dan Ayob yang kini berusia setahun.

Manakala, perkahwinan Datuk Red bersama isteri pertama, Datin Red dikurniakan seramai lima orang cahaya mata.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Penceraian Jalan Terbaik, Adira Suhaimi Mahu Berpisah Dalam Keadaan Tenang & Matang – “Saya Tak Nak Bergaduh”

Artikel Berkaitan: Muat Naik Foto Di Mahkamah, Hantaran Datin Red Cetus Tanda Tanya – “Ya Allah, Bolehkah Aku Minta Bahagian Kebahagiaanku”

Sumber: OhBulan!

Aqilah Paharuzi