Categories: AcaraHiburanTrending

Aeril Zafrel Dedah Pernah Setahun Menyamar Jadi ‘Sis’ Gara-Gara…

Pelakon Aeril Zafrel mendedahkan pernah menjadi ‘sis’ ketika mula berjinak dalam perniagaan empat tahun lalu.

Tidak mengupah pekerja untuk mengendalikan pesanan serta produk perniagaan, Aeril mengendalikan perkara terbabit bersama isteri, pelakon Wawa Zainal.

“Hampir setahun juga kami buat berdua. Bungkus sendiri, hantar sendiri, tulis order sendiri, sehinggalah membalas pesanan pelanggan menerusi aplikasi WhatsApp.

“Biasalah, bila membalas mesej dengan pelanggan yang rata-ratanya wanita, semestinya mereka akan memanggil ‘sis’. Saya pun melayan saja, kira menyamar jadi ‘admin’ WhatsApp bisnes kami. Mereka tak tahu saya sendiri yang mengendalikan pesanan,” katanya.

Tambah Wawa, dia dan suami banyak belajar serta bersyukur kerana apa yang diusahakan kini membuahkan hasil.

“Kenangan itu akan kami ingat sampai bila-bila. Jika dahulu semuanya sendiri, kini kami dapat berkongsi rezeki. Alhamdulillah, perlahan-lahan kami membina empayar perniagaan, menimba ilmu bisnes dan mengambil pekerja.

“Kini, apa yang kami usahakan sudah memasuki empat tahun dan kami mempunyai 30 orang pekerja,” katanya.

Aeril dan Wawa ditemui pada majlis pelancaran produk lip tint, Fruit Candy di Boathouse, Ampang, baru-baru ini.

Dalam acara yang bertemakan warna neon itu, Wawa Cosmetics melancarkan semula rangkaian lip tint yang pernah dikeluarkan sebelum.

“Sebelum ini pernah dilancarkan sebanyak dua kali dan mendapat respons yang baik. Kini, kami menambah dua perisa baharu iaitu peach dan epal.

“Kali ini, kita keluarkan pun sudah hampir habis juga walaupun belum dilancarkan secara rasmi lagi. Kami menjual sebanyak 80,000 unit sahaja dan sebelum pelancaran, ia telah terjual sebanyak 65,000 unit,” tambah Wawa.

XTRA