Aeril Zafril Tak Boleh Melawat Nad Zainal Gara-Gara…

Umum mengetahui berita sedih mengenai pelakon Nad Zainal yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Ampang Puteri, Selangor gara-gara mengalami paru-paru berdarah.

Susulan itu, ramai rakan selebriti mengambil peluang untuk melawat Nad Zainal bagi melihat keadaannya yang dikatakan kritikal namun semakin stabil.

Tidak terkecuali, pelakon Aeril Zafrel turut meluahkan hasratnya untuk melawat Nad Zainal di hospital namun tidak berupaya.

Memetik laporan Gempak, pelakon yang bakal tampil dalam drama Serpihan Sayang itu memaklumkan bahawa dia tidak mampu untuk melawat Nad Zainal di hospital kerana memiliki rasa keresahan (anxiety) akibat pengalaman peribadi.

“Disebabkan pengalaman peribadi sebelum ini, saya ada anxiety bila tengok seseorang dalam keadaah sebegitu (sakit). Saya nak melawat, tapi dalam masa sama anxiety tu datang.

“Saya rasa setengah orang tahu perasaan itu macam mana… bila kita datang tengok orang sakit, kita jadi tak senang. Insya-Allah, saya memang nak melawat Nad dan kalau ada masa, saya akan cuba ke hospital,” kongsinya kepada Gempak.

Sehubungan itu, Aeril memohon kepada orang ramai untuk sentiasa mendoakan Nad Zainal kembali sembuh dengan segera dan pulang kepada pangkuan keluarga.

Sumber: Gempak

Atiqah Johari