Akui Pernah Dipulau Rakan Sekerja… Enggan Jadi Bahan Bualan Buruk, Siti Khadijah Selesa Berdiam Diri

Pelakon Siti Khadijah Halim mengakui dia lebih selesa berdiam diri daripada terpalit dengan gosip kurang enak yang melibatkan dirinya.

Menurut Siti, dia tidak mahu mencetuskan sebarang masalah kerana khuatir dengan sikap sesetengah pihak yang kurang senang dengan tindak-tanduknya sepanjang dalam industri tanah air.

“Bagi saya kalau diam, tidak banyak cakap lagi bagus sebab enggan cetuskan masalah lain atau takut salah borak.

“Kadang-kadang duduk berseorangan, tiada drama dan tiada salah faham berlaku pun orang tetap cakap buruk pasal kita.

“Kalau bercakap lebih-lebih atau terlalu ramah orang akan cakap saya menjengkelkan pula,” katanya.

Memetik laporan Kosmo! Online, pelakon yang pernah membintangi drama Sekali Lagi Cinta itu turut mengakui dirinya pernah dipulaukan oleh rakan sekerja ketika baru menjinakkan diri dalam dunia lakonan.

“Saya pernah dipulaukan semua orang termasuk kru dan artis ketika mula-mula menceburi bidang seni.

“Mungkin saya pernah buat sesuatu kepada orang sebelum ini secara tidak sedar walaupun tiada niat mahu pulaukan orang.

“Itu kitaran hidup yang tidak seronok. Tiada siapa yang mahu dipulaukan dan duduk sendirian,” jelasnya lagi.

Terdahulu, Siti tampil membela rakan baiknya, Sophia Albarakbah yang dikatakan pernah dipulaukan oleh rakan artis dan produksi dek kerana kontroversinya berkenaan isu penyondol.

Siti bagaimana pun menyatakan Sophia sentiasa disenangi rakan produksi dan artis yang lain sepanjang bekerjasama dengannya.

Sumber: Kosmo! Online

Fatin Nurain