Alami Kesukaran Bernafas, Jaafar Onn Diminta Kekal Di Hospital Sejak 2 Minggu Lalu – “Doktor Nak Pantau Tahap Oksigen, Jantung…”

Pelakon dan pengacara, Jaafar Onn mengalami kesukaran bernafas dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Serdang, Selangor sejak 1 Oktober lalu.

Memetik laporan Harian Metro, dia bersyukur tidak berdepan dengan sebarang penyakit serius selepas menjalani pemeriksaan lanjut.

“Saya sudah ditahan wad hampir dua minggu selepas mengalami sesak nafas. Alhamdulillah tiada masalah serius pun, cuma saya diminta untuk kekal berada di hospital bagi melakukan beberapa pemeriksaan kesihatan.

“Doktor ingin memantau tahap oksigen, keadaan jantung, darah tinggi dan gula dalam darah. Saya bersyukur semuanya berada dalam keadaan normal dan keadaan kesihatan saya pun bertambah baik,” katanya.

Sementara itu, Jaafar turut berpesan kepada golongan seusia supaya segera mendapatkan rawatan sekiranya tidak sihat.

“Jangan berlengah untuk pergi ke hospital sebab nanti keadaan akan bertambah teruk. Jangan takut untuk mendapatkan rawatan di hospital.

“Lebih baik jumpa doktor supaya hati kita lebih tenang dan tahu punca penyakit yang dihidapi. Kalau tak sihat, macam-macam yang kita fikir,” ujarnya.

Maya Basir