Ambil Ikhtibar Pengalaman Lama, Meerqeen Pasang 2 Pengawal Peribadi

Pelakon popular, Meerqeen telah menggunakan khidmat pengawal peribadi apabila keluar bekerja bagi mengawal daripada terpalit sebarang kejadian yang boleh mencalarkan imejnya.

Memetik laporan Harian Metro, jurucakap pengurusannya berkata, ia bukan permintaan Meerqeen atau nama sebenar Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam tetapi keputusan mereka sepenuhnya sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kami bertindak mengupah dua ‘bodyguard’ untuk menjaganya setiap kali berada di khalayak ramai sekarang. Ia bagi memantau tiada kejadian tidak diingini berlaku selain keselamatannya.

“Kami mengambil iktibar daripada pengalaman terdahulu yang memberi kesan kepada namanya. Supaya tidak berulang, pendekatan itu yang terbaik boleh kami lakukan.

“Awalnya, Meerqeen pun tak tahu kami upah pengawal peribadi untuknya. Alhamdulillah, setakat ini, kehadiran mereka sangat membantu dan tegas dalam melindungi Meerqeen di khalayak,” katanya.

Pada masa sama, jurucakap tersebut menyatakan syukur apabila tindakan mereka difahami oleh peminat dan daripada pelbagai pihak.

“Setiap kali hadir mana-mana acara, peminat sangat menghormati sebarang permintaan daripada pengawal peribadinya. Contohnya apabila mengambil gambar atau mendekatinya tanpa kebenaran.

“Bukannya berlagak tapi kami tidak ingin terlepas pandang jika ada perbuatan yang diingini terjadi kepadanya. Kami sebaiknya ingin menjaga rapi reputasi Meerqeen apatah lagi dia masih muda,” ujarnya.

Terdahulu, Meerqeen terpalit kontroversi mencium pelawak terkenal Indonesia, Kiky Saputri ketika menghadiri sebuah program hiburan di sana.

Namun, Meerqeen mengatakan dia mahu melupakan isu panas tersebut dan terus mengorak dengan lebih cemerlang serta mengetahui kekuatan dan kelemahan dirinya.

Maya Basir